KUALA LUMPUR  – Para pelajar Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, Universiti Malaya (UM) akan menganjurkan kejohanan catur bagi kali ke-24 berturut-turut yang dikenali sebagai Kejohanan Catur GACC kali ke-24 (24th GACC Chess Championship).

Kejohanan itu akan berlangsung pada 8 Februari hingga 16 Februari 2020 di Dewan Tunku Canselor, UM.

Bertaraf antarabangsa, kejohanan bertemakan “Chess For All” ini juga mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Persatuan Catur Kuala Lumpur (KLCA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebanyak 68 universiti dari 22 negara yang merangkumi China, India, Indonesia, Jerman, Sri Lanka, Singapura dan negara-negara Asia yang lain telah menyertai GACC sejak tahun 1996 yang dianjurkan setiap tahun.

Kejohanan FIDE-Rated itu telah berlangsung selama 23 tahun sejak penganjuran kali pertamanya pada tahun 1996.

Menggunakan slogan “Breakthrough the fortress, pace towards victory” sebanyak empat kategori utama dipertandingkan untuk menarik minat bukan sahaja daripada golongan mahasiswa, tetapi juga pemain catur dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah serta orang ramai.

Para peserta acara peringkat kebangsaan akan memperoleh markah kokurikulum bertaraf kebangsaan, manakala acara peringkat antarabangsa, anda akan berpeluang untuk bertemu dan bermain dengan pemain catur utama dari seluruh kawasan dunia.

Pada masa yang sama, suatu karnival catur akan dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat negara kira untuk bermain catur.

Terdapat pameran dan banyak permainan kecil yang berkaitan dengan catur akan disediakan untuk peserta dan juga orang ramai yang berminat dalam permainan catur.

Bagi sesiapa yang berminat, anda boleh melayari Facebook Rasmi GACC: Grand Asian Chess Challenge (GACC). Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi saudari Eng Shei Lin (016-206 2024) atau saudari Teo Xi Yuan(010-222 6944) ataupun menghantar emel kepada [email protected] .-MalaysiaGazette