MOHD Ridzuan bersama kira-kira 50 peniaga selepas membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Wangsa Maju di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 peniaga yang tidak mendapat tempat di Bazaria Wangsa Maju mendakwa mereka tidak dibela oleh pihak berkuasa.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah mendesak pihak berwajib tampil dengan solusi untuk membantu peniaga yang terjejas mata pencarian itu.

Beliau juga mahu pihak berkuasa jangan tunduk terhadap tekanan pihak tertentu dalam isu melibatkan bekas peniaga Uptown Danau Kota itu.

Beliau mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis menghalang tindakan mana-mana individu berkepentingan daripada terus mencetuskan provokasi terhadap peniaga terbabit.

Menurutnya, tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew yang didakwa campur tangan dan menunjukkan isyarat jari kurang menyenangkan tidak langsung membantu para peniaga.

“Tumpuan kami (IKHLAS) supaya isu ini diselesai segera demi membantu peniaga tercicir kerana mereka bergantung hidup dari hasil perniagaan. Jika tiada tapak, di mana tempat mereka boleh cari rezeki?” soalnya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mohd. Ridzuan, tindakan Yee Kew menjadi duri di dalam daging dalam isu peniaga kerana mereka golongan yang perlu dibantu.

Beliau juga telah membuat laporan polis Yee Kew dibuat bagi mendesak pihak berkuasa melaksanakan fungsi kuasa autoriti tanpa diganggu gugat oleh mana pihak atau individu.

Perkara tersebut tegas Mohd Ridzuan, penting bagi mengembalikan semula kredibiliti dan keupayaan pihak berkuasa untuk menggalas tugas diamanahkan.

Malah hasrat kerajaan untuk hapuskan campur tangan orang tengah amat dialu-alu oleh IKHLAS, namun katanya, perkara tersebut sewajarnya akan memudahkan peniaga dan penjaja bukan sebaliknya.

“IKHLAS mendesak kedaulatan Undang-undang dan fungsi kuasa pihak berkuasa tempatan ditegakkan dan mengatasi segala pangkat dan kedudukan oleh sesiapa sekalipun. Perkara ini serius dan penting untuk keadilan rakyat, tidak sepatutnya sehingga memangsakan peniaga,” ujarnya.- MalaysiaGazette