Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada Majlis Perasmian Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

LANGKAWI – Kerajaan berhasrat untuk melihat Langkawi berubah menjadi ‘Pulau Digital’ yang mana teknologi mengubah kehidupan dan cara penduduk pulau ini bekerja dan berkembang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, Langkawi mempunyai pelbagai industri yang berbeza yang meliputi kawasan vertikal iaitu sebagai pelancongan, bandar pintar, penjagaan kesihatan digital dan pertanian – sesuai sebagai tuan rumah kepada pelbagai kes penggunaan spektrum.

“Malah, penggunaan kes seperti pertanian pintar dan bandar perkilangan dalam projek demonstrasi 5G adalah relevan untuk Langkawi dan negara ini kerana ia menyokong aspirasi negara untuk memaksimumkan pengeluaran dan meningkatkan stok bekalan makanan negara.

“Penggunaan kes-kes penjagaan kesihatan digital yang sedang dijalankan di Langkawi termasuk pemindahan data perubatan pada masa nyata dan keupayaan 5G ambulans di Hospital Sultanah Maliha,” katanya.

Bercakap dalam majlis perasmian demonstrasi projek-projek 5G di sini, beliau berkata, Langkawi dipilih sebagai lokasi untuk fasa perintis Projek Demonstrasi 5G kerana demografi yang ideal dengan persekitaran.

Akrobatik drone yang dipersembahkan pada Majlis Perasmian Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

Katanya, transformasi tersebut menjadikan pulau ini mampan, bijak dan selamat serta memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan komuniti, tetapi juga pihak berkuasa tempatan dalam perancangan projek pembangunan masa depan.

Mengulas mengenai perkembangan demonstrasi projek-projek 5G, Gobind berkata, kerajaan sudah menggunakan 72 daripada 100 kes untuk demonstrasi projek 5G di enam buah negara sejak beberapa bulan lalu.

Kes-kes berkenaan telah membantu kerajaan memahami dan mengguna pakai teknologi tersebut.

Menurutnya, di Langkawi sahaja, terdapat 35 penggunaan kes di 25 lokasi sebenar yang meliputi sembilan vertikal iaitu pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan/media, pengeluaran dan pemprosesan, minyak dan gas, bandar dan pengangkutan pintar serta pelancongan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.