Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) bukan satu-satunya pengukur terhadap prestasi Pakatan Harapan (PH) sebaliknya penilaian harus dilihat dengan konsep yang lebih luas, kata Lim Guan Eng.

Tambah Setiausaha DAP itu. suara rakyat secara keseluruhannya dinilai berdasarkan keputusan pilihan raya umum yang lalu yang memilih untuk menukar kerajaan.

“(Keputusan) PRK tidak menggambarkan keputusan PRU. Ini kerana, sebelum PRU juga, kami (PH) pernah kalah teruk pada setiap PRK tetapi kami mengejutkan semua orang dengan memenangi PRU-14.

“Kita faham orang suka melihat keputusan pada waktu itu saja (PRK) dan membuat kesimpulan tetapi pada akhirnya (tiba hari mengundi) jika kita beri pilihan kepada mereka untuk memilih antara kerajaan yang korup dengan kerajaan yang bersih, sudah tentu mereka memilih kerajaan yang bersih,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada pelajar miskin dalam Parlimen Bagan, di Seberang Perai Arena, Pulau Pinang hari ini.

Bagaimanapun PH ujarnya perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi permintaan rakyat selepas kalah pada PRK Kimanis semalam.

Semalam, Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47 berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis meraih majoriti 2,029.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan yakin sokongan akan terus diberikan rakyat terhadap kerajaan PH apatah lagi dengan pelbagai usaha dan inisiatif diberikan bagi membantu mengurangkan beban ekonomi ditanggung sekarang.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kekalahan Warisan pada PRK Parlimen Kimanis mungkin disebabkan pengundi di kawasan itu belum merasai kebaikan pemerintahan kerajaan PH.

Namun beliau yakin lambat laun rakyat di negeri itu umumnya akan memahami dan merasai bahawa pemerintahan kerajaan hari ini adalah lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin kekalahan Warisan di Kimanis tidak membawa impak yang begitu besar sehingga timbul isu kemerosotan undi.-MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.