Mohd Ashraf Mustaqim (tengah) selepas membuat laporan polis di IPD Subang Jaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Laporan beberapa portal memburukkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dianggap fitnah.

Pegawai khas menterinya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, ia ekoran artikel Johor Press dan MyNewshub yang mendakwa Syed Saddiq ada semasa parti yang melibatkan kes dadah baru-baru ini.

“Berikutan berita fitnah yang tersebar mengenai penglibatan YB Syed Saddiq dengan isu fitnah lobi tender kerajaan dan penangkapan dadah yang masih dalam siasatan beberapa individu baru-baru ini. Satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan pihak berkuasa dan undang-undang ke atas mereka yang memfitnah YB Menteri Belia dan Sukan.

“Ia akan disusuli dengan laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia supaya tindakan tegas di kenakan kepada mereka yang berdiri atas jalan fitnah utamanya kepada pihak kerajaan Malaysia dan kementerian di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Polis Subang Jaya hari ini.

Mohd Ashraf Mustaqim yang juga Exco Armada itu kesal kerana perkara itu dibangkitkan oleh saluran media berkenaan walaupun selepas ia dinafikan sendiri oleh Syed Saddiq.

Justeru, beliau mahu tindakan tegas diambil kepada kedua-dua portal terbabit.

“Mewakili pihak menteri dan KBS, saya ingin menegaskan bahawa kandungan artikel yang diterbitkan oleh Johor Press adalah tidak benar sama sekali. Malah, dakwaan bahawa ada cubaan melobi projek-projek besar di KBS adalah salah dan telah menjejaskan imej baik kementerian,” katanya lagi.- MalaysiaGazette