Petroliam menerusi anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. berjaya menghantar gas asli cecair (LNG) ke South Korean Oil Refining Company (S-Oil Corporation).

KUALA LUMPUR – Anak syarikatnya, PETRONAS LNG Ltd. (PLL) menandatangani Perjanjian Induk (HOA) dengan Shenergy Group Company Limited (Shenergy) untuk membekalkan kira-kira 1.5 MTPA gas asli cecair (LNG) ke terminal Wuhaogou di China.

Perjanjian pembekalan LNG adalah untuk jangka 12 tahun bermula 2022, juga melibatkan kerjasama penghantaran untuk membina dan menyewa kapal LNG pertengahan baru untuk penghantaran kargo.

Melalui perjanjian jangka panjang yang baru ini, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjadi sebagai rakan kongsi penyelesaian LNG pilihan Shenergy, yang menjadi pembekal utama LNG kepada anak syarikatnya, Shanghai LNG Co., Ltd sejak tahun 2006.

Perjanjian baru untuk tambahan bekalan LNG itu membolehkan Petronas menyokong peningkatan permintaan Shenergy untuk LNG, sambil memperkukuhkan lagi kedudukannya di salah satu pasaran LNG yang paling pesat berkembang di dunia.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Tenaga Baru Petronas, Adnan Zainal Abidin berkata, syarikat minyak milik negara itu menghargai hubungan jangka panjang dengan Shenergy, yang terus berkembang sejak tahun 2006.

“Perjanjian LNG jangka panjang, yang melibatkan penghantaran kargo bersaiz sederhana ke terminal penerima LNG yang unik, merupakan bukti komitmen Petronas terhadap pelanggan dan kesesuaian pasaran.

“Ini hanya boleh dicapai melalui model perniagaan unik Petronas yang menyesuaikan penyelesaian mengikut kehendak dan keperluan pelanggan kami, terutamanya apabila pasaran bergerak ke arah keperluan kargo bersaiz sederhana atau bungkusan kecil LNG.

“Dengan tumpuan untuk menyediakan penyelesaian inovatif bagi memenuhi permintaan pelanggan, Petronas terus mengukuhkan reputasinya sebagai pembekal LNG yang lebih baik dan dipercayai,” kata Adnan. – MalaysiaGazette