Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JANUARI 2020

LANGKAWI – Usahawan-usahawan tempatan diminta mengubah stigma bahawa dengan bantuan subsidi dan sokongan kerajaan sahaja mereka akan berjaya.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usahawan tidak boleh lagi bergantung kepada subsidi dan sokongan kerajaan untuk terlibat dalam perniagaan.

Sebaliknya, mereka perlu tahu bahawa pelaburan yang dibuat oleh mereka akan memberi pulangan baik jika ia diurus dengan betul.

Menurut Perdana Menteri, perniagaan penanaman menggunakan keupayaan 5G sebagai contohnya hanya memerlukan pelaburan sebanyak RM200,000 bagi membeli kelengkapan seperti kontena.

Tetapi pulangannya dapat diraih dalam tempoh 14 bulan.

“Usahawan boleh membuat pinjaman dan melabur dengan baik supaya mendapat perolehan untuk membayar hutang. Selepas itu usahawan bebas daripada hutang.

“Ini adalah pendekatan penerokaan perniagaan yang menguntungkan.

“Usahawan jangan sesekali bergantung harap kepada subsidi atau insentif kerajaan untuk berjaya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan demonstrasi projek 5G di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini.

Ini kerana, di kebanyakan negara usahawan mereka berjaya di atas kakinya sendiri. – MalaysiaGazette