Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi didakwa menjalankan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin UMNO yang jelas membuktikan satu kepincangan sistem penguatkuasaan dan perundangan negara.

Dua pemimpin UMNO yang didakwa hari ini ialah Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Ahmad Maslan.

Justeru, kata, Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya sewajarnya meletak jawatan kerana pendakwaan terpilih itu dan beberapa tindakannya sebelum ini yang telah mencemarkan nama baik suruhanjaya itu sebagai badan bebas.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan di mana bekas Ketua Puteri UMNO, Mas Ermeyati yang sepatutnya turut dibawa kemuka keadilan?

Pendakwaan terpilih itu juga, katanya, jelas menunjukkan bahawa Rule of Law yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) perjuangkan hanya sekadar pemanis mulut untuk mengaburi mata rakyat.

“Tindakan itu adalah satu lagi kepincangan SPRM di bawah Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya yang menjadi alat politik pemerintah bagi menekan pemimpin UMNO yang lantang menentang kepincangan dan pembohongan PH.

“Jelas SPRM di bawah Latheefa telah menyalahgunakan kuasa apabila melakukan pendakwaan terhadap pemimpin UMNO, namun tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap mana-mana pemimpin UMNO yang telah menyertai parti kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor berdiri teguh di belakang dua pemimpin UMNO ini yang berani berjuang menentang kerajaan zalim yang telah memperkudakan sistem perundangan negara demi kepentingan peribadi.

Tegasnya, lawan tetap lawan dan semua perlu bangkit menentang kezaliman sang pemerintah dan tidak seharusnya membiarkan kepincangan itu terus berlaku sehingga merosakkan nama baik negara. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast