Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd hari ini berlangsung dalam keadaan sedikit panas apabila tertuduh, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihak pendakwaan tidak mahu beralah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bukan sahaja mengasak bekas Perdana Menteri itu menjawab setiap persoalan yang dikemukakan beliau, sebaliknya soalan turut diselang selikan dengan sindiran.

Terdahulu ketika sesi pemeriksaan sebelah pagi, Sithambaram yang sedang memeriksa balas Najib berhubung pengeluaran pinjaman sebanyak RM2 bilion oleh Kumpulan Wang  Persaraan DiPerbadankan (KWAP) untuk syarikat SRC menimbulkan ketegangan.

Sithambaram menuduh kenyataan Najib tidak selari dan bercanggah dengan keterangan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Walaupun Najib cuba menyatakan bahawa tidak semua pandangan beliau akan diambil kira, sebaliknya KWAP akan membuat keputusan muktamad namun jawapan itu tidak memuaskan hati Sithambaram.

Sithambaram: Kita juga semua tahu bagaimana politik negara yang dibayangi dengan feudalisme.

Najib: Tidak betul, saya tidak bersetuju. Ada juga masa-masa di mana KWAP tidak sependapat dengan saya.

Sithambaram: Tidak. Sebenarnya agak feudal kerana mereka terpaksa juga dengar apa kata ‘bos’.

Najib: Ya betul. Tapi pada masa sama, mereka juga boleh berikan pandangan dan pendapat mereka.

Sithambaram: (Sambil ketawa), kita semua tahu apa yang akan terjadi kepada sesiapa yang tidak mendengar kata-kata kamu. Kami hanya orang biasa sahaja.

Petang tadi, ketika sesi pemeriksaan balas, sindiran Sithambaram seolah-olah memakan diri sendiri apabila beliau ditempelek oleh Najib.

Sithambaram meminta Najib hanya menjawab apa yang disoal tanpa memberikan penjelasan terperinci tentangnya.

Sithambaram: Tuan, anda hanya perlu jawab singkat apa yang ditanya. Tidak perlu penjelasan begitu panjang lebar. Itu biarlah dilakukan oleh peguam-peguam yang dibayar oleh kamu. Itu kerja mereka.

Najib: Bagaimana pula dengan gaji kamu yang dibayar oleh rakyat?

Sithambaram: Tidak perlulah kita pergi ke situ. Kita fokus di sini.

Bilik perbicaraan juga gamat seketika.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram

Dalam pada itu, Sithambaram menyoal mengapa Najib tidak membenarkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pergi ke Switzerland bagi mendapatkan semula wang SRC bernilai RM3.6 bilion.

Majib mendakwa, Ahmad Husni tidak mempunyai apa-apa perancangan mahupun sebarang kertas cadangan yang sepatutnya dikemukakan terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan Kabinet.

Sithambaram: Maknanya perlu ada satu kertas pelan yang besar?

Najib: Saya tidak benarkan beliau pergi tanpa beritahu saya secara terperinci tentang rancangan beliau. Beliau tidak ada pelan yang lengkap.

Sithambaram: Wow. Ini sebenarnya melibatkan wang para pesara. Tetapi bunyinya seperti sebuah filem James Bond, seperti G to G (kerajaan dengan kerajaan).

Najib: Ya, sudah tentu kamu perlu sediakan satu pelan dan kertas kerja Kabinet sebelum pergi. (dalam nada tegas).

Najib ketika ini membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Prosiding akan bersambung esok dengan Sithambaram akan terus menyoal balas Najib di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.