Ewon Benedick

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah membatalkan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS).

Keputusan diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu adalah hasil keputusan sebulat suara Ahli-Ahli Jemaah Menteri Sabah dalam mesyuarat Kabinet hari ini yang dibuat selepas mengambilkira dan menerima pandangan serta input daripada rakyat negeri itu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick, dalam perbincangan Kabinet berkenaan cadangan itu selama ini, termasuk mesyuarat hari ini, pendirian dan pandangannya telah direkodkan dengan baik dalam minit mesyuarat Kabinet.

Katanya, masalah pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) masih menjadi masalah nombor satu di Sabah dan memerlukan penyelesaian tuntas.

“Penangkapan dan penghantaran pulang pelarian atau pendatang asing ini harus dilaksanakan, dan sekiranya mereka mahu mengunjungi Sabah atas faktor ekonomi, mereka harus memiliki pasport antarabangsa dan menghormati undang-undang negara kita.

“Undang-undang yang berkaitan kawalan pesisiran pantai dan sempadan negara serta urustadbir berkaitan pelarian, masalah pelarian dan pendatang asing tanpa izin harus terus dan perlu diperkasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ewon yang juga Naib Presiden UPKO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, kerajaan Persekutuan, khususnya KDN harus mencari mekanisme yang boleh diterima oleh rakyat Sabah.

Katanya, beliau berbangga menjadi sebahagian daripada keputusan untuk membatalkan cadangan pelaksanaan PSS ini. – MalaysiaGazette