Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa “PH utuh, tidak perlukan Pas sebagai rakan sekutu” menunjukkan parti itu penuh kebimbangan, menggelabah dan tertekan

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasaan juga melihat kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa kedudukan Pakatan Harapan (PH) tidak stabil dan dalam keadaan berkrisis sesama komponennya.

“Selama ini Pas tidak pernah terfikir apatah lagi memohon untuk menyertai PH, sebaliknya akan mengukuhkan lagi kerjasama politik dengan UMNO/BN melalui Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kenyataan penuh bimbang pimpinan PKR dan juga Amanah terhadap Pas akhir-akhir ini ibarat ‘anjing takut bayang-bayang’ dan Pas menyifatkan ‘biarkan PH terjun dengan labu-labunya, biarkan biarkan’.

Beliau turut menegaskan pendirian Pas untuk terus bersama UMNO dan Barisan Nasional menjadi pembangkang yang konstruktid di dalam dan luar Parlimen.

“Kami akan berperanan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan PH, lebih-lebih lagi berikutan pertambahan anggota blok pembangkang dengan kemenangan calon BN pada PRK Kimanis, Datuk Mohamad Alamin,” katanya.

Takiyuddin mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub yang yang menolak sebarang gerakan atau cadangan untuk membawa masuk Pas menyertai kerajaan semata-mata mahu menarik sokongan rakyat kepada PH.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tan itu juga menegaskan tiada keperluan ketika ini untuk ‘menyerap’ Pas ke dalam Putrajaya atau negeri dikuasai PH atas alasan pengaruh parti itu mampu memberi kelebihan kepada kerajaan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam berkata parti itu tidak mempunyai keinginan untuk menyertai kerajaan PH buat masa ini. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Pas pun tak selera sertai kerajaan PH