Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata parti itu tidak mempunyai keinginan untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH), buat masa ini.

“Maaf la Abg Din (Datuk Seri Salahuddin Ayub), kami pun tak ada selera dan tak teringin pun (nak sertai kerajaan PH),” katanya di Facebook, hari ini.

Nada sinis itu dizahirkan Khairuddin ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu yang menolak sebarang gerakan atau cadangan untuk membawa masuk Pas menyertai kerajaan semata-mata mahu menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata: “Abg Din mengigau ke selepas kalah di Kimanis?”.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tan itu juga menegaskan tiada keperluan ketika ini untuk ‘menyerap’ Pas ke dalam Putrajaya atau negeri dikuasai PH atas alasan pengaruh parti itu mampu memberi kelebihan kepada kerajaan.

Malah Ahli Majlis Presiden PH itu turut menyifatkan rombakan atau pembaharuan secara drastik dalam kerajaan Persekutuan tidak perlu dilakukan memandangkan PH masih mendapat sokongan rakyat.

“Setakat ini, sama ada dalam Kabinet atau luar Kabinet, kita masih PH. Setakat ini kita kekal dengan janji kita kepada rakyat. Rakyat sudah memberi mandat, sekarang adalah kerajaan PH.

“Bagi Amanah, kita tetap dengan keputusan sebelum ini. Apa yang ada ketika ini adalah PH. Sekarang kita selesa dengan PH, itu persetujuan dan kerjasama yang kita janjikan,” katanya hari ini.

Salahuddin berkata demikian ekoran satu laporan media hari ini yang melaporkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mungkin akan diberi peranan di Putrajaya untuk menarik sokongan rakyat kepada kerajaan diterajui PH ketika ini. -MalaysiaGazette