Khairil Anuar Aziz

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) meneruskan pembelian gula mentah dari India bagi memenuhi keperluan suku pertama 2020.

Gula mentah dianggarkan berjumlah 130,000 tan bernilai hampir RM200 juta dijangka tiba melalui tiga penghantaran sekitar bulan Januari dan Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, MSM akan terus mengimport gula mentah daripada negara-negara pengeluar terbesar seperti India, Brazil, Thailand dan yang lain, di samping memastikan kos gula mentah tersebut adalah konsisten.

India, Brazil dan Thailand merupakan negara-negara pengeluar gula terbesar di dunia.

Pengeluaran gula mentah India dilaporkan akan berkurangan untuk tahun kewangan 2019/2020 berikutan cuaca
kering.

Walau bagaimanapun, untuk tahun kewangan 2020/2021, pengeluaran India dijangka pulih berikutan kekerapan hujan di Maharashtra.

Sementara itu, pengeluaran di Brazil pula diramalkan stabil.

“Pengilang-pengilang lebih berminat dalam pengeluaran ethanol memandangkan harga lebih memberangsangkan.

“Di Thailand, pengeluaran bagi tahun kewangan 2019/2020 telah berkurangan disebabkan kitaran hujan yang sangat kurang di kawasan tanaman utama.

“Di samping kos penghantaran yang kompetitif, gula mentah dari India turut mempunyai kualiti setara, memberikan nilai tambah dan kelebihan pada MSM dalam memastikan kemampanan bekalan gula mentah berkualiti tinggi untuk kilang-kilang penapisan serta pemantauan perolehan gula mentah yang lebih efisien sebagai strategi penambahbaikan operasi dan penjimatan, sekali gus meningkatkan kecemerlangan operasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Melangkah ke hadapan, MSM telah bersiap sedia untuk meneruskan perniagaan yang lebih mampan pada jangka masa panjang, di samping kekal kompetitif dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Khairil Anuar menambah, MSM juga komited dalam melaksanakan pelan pertumbuhan strategik untuk disiplin dalam perbelanjaan dan mendefinisi semula perniagaan melalui pembangunan produk-produk baru, peningkatan kecekapan operasi dan pengurangan kos penapisan, serta proses perolehan gula mentah yang lebih efektif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast