Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Presiden Persatuan Bolasepak PDRM, Datuk Mazlan Mansor menyerahkan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif Red One Network Sdn Bhd, Mohd Farid Yunus (kanan) pada Majlis Menandatangani Penajaan Syarikat Telco RedONE kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Latihan Polis PULAPOL, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) memberi jaminan bahawa masalah tunggakan gaji pemain tidak akan berulang pada musim ini.

Setiausaha pasukan itu, Asisten Komisioner Zulkefly Yahaya berkata, pihak pengurusannya telah menyediakan pelan pembayaran gaji yang efektif untuk memastikan pembayaran gaji setiap pemain dilaksanakan tanpa masalah tunggakan.

Katanya, pengurusan tertinggi pasukan sedang berunding dengan pemain-pemain terbabit.

“Kami menyediakan pelan untuk membayar gaji pemain-pemain dan sedang berunding dengan pemain-pemain dan hampir 90 peratus daripada mereka dalam pasukan sudah bersetuju dengan pelan struktur pembayaran gaji selepas memahami kedudukan kewangan kami, dan mulai 31 Januari ini tunggakan akan dijelaskan secara berperingkat.

“Manakala 10 peratus lagi pemain yang mana pemain import berada di luar negara dan kami sedang cuba menghubungi agen mereka untuk meneruskan rundingan mengenai pelan baharu gaji kami utuk mencapai kata sepakat yang positif,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis di sini petangt tadi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian penajaan kewangan oleh syarikat telekomunikasi, redONE Network Sdn. Bhd dengan PDRM FA yang disaksikan Presiden pasukan itu merangkap Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor.

Pengurus Persatuan Pasukan Bolasepak PDRM, SAC Datuk Khalil Azlan Chik bercakap pada Majlis Menandatangani Penajaan Syarikat Telco RedONE kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Latihan Polis PULAPOL, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JANUARI 2020

Turut hadir Pengurus PDRM FA, Senior Asisten Komisioner Datuk Khalil Azlan Chik.

Tambahnya, PDRM FA memperolehi penajaan kewangan hampir RM1 juta daripada redONE untuk musim 2020.

Menurutnya, tajaan itu akan digunakan sebaik mungkin dengan diuruskan secara berhemah dan menyelesaikan segala tunggakan gaji sebelum Liga Super bermula.

Kata Zulkefly, jersi pasukan akan ditaja syarikat al-Ikhsan dan ia akan dilancarkan tidak lama.

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras akan menjadi venue rasmi pasukan itu, katanya.

Dalam pada itu Khalil Azlan memberi jaminan bahawa pasukannya tidak akan berdepan masalah tunggakan gaji pemain dengan harapan lebih banyak syarikat tampil menghulurkan penajaan pada musim ini.

Beliau juga optimis pasukannya boleh mempamerkan aksi terbaik dan memberi tentangan sengit dengan menyasar menamatkan saingan dalam kelumpuk lima teratas liga.

“Kita akan cari penaja-penaja yang boleh bantu kita dan kami akan memastikan perbelanjaannya secara berhemah mengikut bajet yang dipersetujui ahli majlis.

“Saya jamin masalah gaji tak berulang lagi sekiranya penaja tak lari dan yakin dengan kepimpinan pasukan semasa,” katanya.

Ketua JSPT Kuala Lumpur merangkap Setiausaha Persatuan Bolasepak PDRM, Asisten Komisioner Zulkefly Yahyabercakap pada Majlis Menandatangani Penajaan Syarikat Telco RedONE kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Latihan Polis PULAPOL, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JANUARI 2020

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus berkata, pihaknya bersyukur dan gembira untuk menaja PDRM FA.

“Mereka memerlukan tajaan bajet besar dan oleh kerana kami sudah lama kerjasama dengan PDRM FA sejak Piala Emas Raja-Raja lagi, penajaan (PDRM FA)  tepat pada masa dan tempat demi menambah sokongan untuk the Cops,” tegasnya. – MalaysiaGazette