Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pakar psikiatri yang tular di media sosial tahun lepas berhubung dakwaan menyebut perkataan lucah terhadap bekas pesakitnya, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan tersebut.

Dr Gurdeep Singh Narain Singh, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Dia didakwa atas tuduhan dengan niat untuk mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 26 tahun yang merupakan bekas pesakitnya dengan menyebut perkataan lucah untuk didengari mangsa di sebuah hospital swasta di Kota Damansara pada 4.30 petang, 12 Feb tahun lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay memohon jaminan minimum.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac untuk sebutan semula kes.

Peguam Francis Pereira bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Pada 18 Okt tahun lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan serupa, bagaimanapun tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan semasa sebutan kes tersebut pada 13 Jan lepas. – MalaysiaGazette