KUALA LUMPUR – Rakyat mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian orang lain.
Berdasarkan Seksyen 14 dan 44 Akta 333, hukuman maksimum adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
Namun, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Pengangkutan agak lembap dalam usaha meminda akta berkenaan walaupun banyak kes melibatkan pemandu mabuk melanggar sehingga mati mangsanya.
“Semalam (23 Januari 2020), seorang penunggang motosikal maut dan seorang lagi cedera parah akibat dilanggar pemandu mabuk di Jalan Kebun, Klang.
“Ramai orang awam tidak bersalah termasuk kanak-kanak dan wanita mati akibat sikap pemandu mabuk yang semakin ramai mutakhir ini.
“Sampai bila rakyat tidak bersalah terus menjadi korban pemandu mabuk ini? Mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?,” soal beliau dalam kenyataannya kepada media, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan yang dipandu lelaki mabuk.
Kemalangan itu juga turut mencederakan penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27, dan Muhammad Anas Mokti, 27, yang kini menerima rawatan di zon kuning dan zon merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Sementara pemandu mabuk berusia 37 tahun, yang memandu kenderaan jenis Ford Ranger tidak mengalami kecederaan dan direman pagi ini di Mahkamah Majistret, Klang.
Menurut Tuan Ibrahim, Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) pernah menjawab soalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Mac 2019 berhubung isu berkenaan.
Kata beliau, menteri itu hanya memaklumkan akan meneliti dan mengkaji cadangan pindaan termasuk berbincang dengan polis dan Peguam Negara. Namun, ujarnya, belum ada apa-apa perkembangan lagi dan rakyat masih menunggu perkembangan itu.
“Isu ini sangat serius dan hukuman lebih keras patut dikenakan terhadap pesalah. Pindaan perlu disegerakan untuk menghalang lebih banyak kes akan berlaku.
“Kita akan berusaha sebaik mungkin agar pindaan ini dapat dilaksanakan termasuk mendesak untuk mengharamkan penjualan arak secara berleluasa,” katanya. – MalaysiaGazette