Shalma Eliana kini muncul dengan single terbaharu berjudul Mahukah Kamu ft Fariz Jabba

KUALA LUMPUR – Penyanyi Shalma Eliana kini kembali mempertaruhkan single terbarunya, Mahukah Kamu ft Fariz Jabba buat peminat yang ternanti-nanti buah tangan terbarunya selepas hampir setahun menyepi dari radar industri muzik.

Shalma, 19, sanggup menolak kesakitan yang dialami sebagai bukan alasan buat wanita kental sepertinya untuk menyiapkan video muzik single hasil ciptaan penyanyi dan komposer kelahiran Singapura, Alif (dulu dikenali sebagai Alif Sleeq) sempena pelancaran lagu berkenaan.

Dia yang mengalami kecederaan akibat patah tulang kaki di bahagian tumit selepas insiden jatuh dari balkoni Ogos lalu meluahkan rasa teruja untuk melancarkan single itu sebenarnya lebih menguasai diri berbanding kesakitan dirasai.

Berkongsi kisah di sebalik Mahukah Kamu, Shalma berkata, ia sebuah karya dilahirkan dengan cetusan melodi Pop dan R&B yang dicipta bertujuan memartabatkan wanita.

Kekuatan single itu terletak pada mesej cuba disampaikan iaitu seorang wanita tidak perlu meletakkan harapan terlalu tinggi untuk seseorang yang tidak menghargai mereka dalam perhubungan dijalinkan.

Bagi Shalma, Mahukah Kamu bukan mengangkat tema percintaan cliche biarpun ia menyamai pengalaman lalu yang banyak memberi pengajaran buatnya.

Namun, Shalma yang lebih selesa menumpukan sepenuh perhatian pada karier dan masa depannya mengungkapkan, cinta bukanlah menjadi keutamaannya sekarang.

Single pertama Shalma Eliana berjudul Janji Terindah.

“Amat penting untuk seseorang wanita itu mempertahankan maruah mereka dan menetapkan pendirian diri. Ini kerana wanita sering dianggap sebagai insan yang lemah sedangkan mereka tidak,” katanya.

Shalma sebelum ini pernah hadir dengan single pertama berjudul Janji Terindah pada 16 November 2018 yang mendapat khidmat Malique Ibrahim selaku penerbit terkenal yang memiliki sentuhan unik.

Lagu itu diedarkan melalui platform Universal Music Malaysia.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mempunyai strategi tersendiri untuk mengukuhkan namanya dalam industri, caranya dia perlu sentiasa mengintai peluang baru untuk mendapatkan khidmat seorang penerbit berbakat besar seperti Alif.

Daripada sekadar meminati hasil kerja Alif, timbul idea di luar kotak daripada Shalma untuk merangsang ilham bagi melahirkan Mahukah Kamu bersama-sama komposer berkenaan.

Shalma mendapati proses bekerjasama dengan Alif, suatu pengalaman yang tidak sukar kerana mereka berdua ibarat satu kepala.

Detik-detik menyiapkan Mahukah Kamu bersama penyanyi rap dari Singapura, Fariz Jabba pula terjalin selepas buat pertama kali Shalma meluahkan hasratnya kepada Universal Music Malaysia untuk merakamkan lagu bersama penyanyi itu.

Sebagai seorang daripada peminat setia Fariz Jabba, Shalma mengaku teruja dan bersyukur apabila cadangannya mendapat respons positif termasuk daripada Alif.

“Universal Music amat memahami terutama apabila saya menyatakan keinginan untuk menjalin kolaborasi dengan Fariz Jabba. Mahukah Kamu cuma mengambil masa sehari untuk siap sepenuhnya apabila ia dirakamkan di studio milik Alif.

“Alhamdulillah, saya cuma mengambil masa sehari sahaja untuk merakam single berkenaan. Namun pada awal, Mahukah Kamu dirancang untuk direkodkan secara solo tetapi keputusan itu berubah selepas berpendapat lebih baik jika single itu turut memuatkan vokal seorang penyanyi lelaki. Masa itulah timbul idea untuk memasukkan vokal Fariz Jabba dalam single tersebut,” katanya.

Sedikit mengenai latar belakang Shalma, bakat baru itu mula meraih perhatian ramai selepas menyanyikan cover song artis-artis terkenal dan memuat naik video klip berkenaan di akaun Instagram @shalmaeliana, seawal usianya 15 tahun.

Shalma Eliana patah tulang kaki di bahagian tumit selepas
insiden jatuh dari balkoni Ogos lalu.

Kebolehan Shalma dan pakej dimilikinya berjaya menarik perhatian Universal Music Malaysia untuk menawarkan kontrak rakaman yang mula dikuatkuasakan pada Jun tahun lalu.

Seiring dengan bakat dimiliki, kepetahan Shalma dalam menuturkan kata-kata diperoleh kerana dia salah seorang daripada penuntut jurusan Komunikasi dan Pengajian Media
di sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Shalma dijangka menamatkan kursus peringkat diplomanya pada tahun depan. Dia juga merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana suatu hari nanti.

“Sekarang saya menggunakan kesempatan yang ada untuk belajar pengucapan awam kerana ia sesuatu yang berguna terutama untuk membantu meningkatkan karier saya sebagai penghibur.

“Untuk peringkat sarjana pula, saya berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik, insya-Allah. Saya berharap melalui muzik, saya dapat memberi inspirasi kepada belia,” katanya.

Sementara itu, Fariz Jabba, 22, yang memulakan karier pada awal sebagai penari mula mendapat rentaknya sebagai penghibur melalui rap, nyanyian dan berlakon.

Dia membina kariernya selepas memuat naik rakaman klip video dia mempersembahkan pelbagai rap gaya bebas yang kemudian menjadi tular di media sosial. Selepas beberapa bulan memuat naik video berkenaan, nama Fariz Jabba juga menjadi sohor kini di Singapura dan Malaysia.

Populariti diraih dalam talian berjaya membuka tawaran lebih luas untuk Fariz Jabba mempamerkan bakatnya kepada umum. Dia juga mendapat peluang untuk menyertai
siri YouTube 16 Baris diasaskan Joe Flizzow.

Kurang sebulan mengadakan persembahan di 16 Baris, Fariz Jabba dijemput untuk memenuhi undangan sebagai artis dalam program Yo! MTV Raps Shine 2018 dan Baybeats 2018.

Single Fariz Jabba yang berjudul Ape Sia dan Masa pula menjangkau lebih 1 juta tontonan di YouTube, masing-masing dalam tempoh tiga bulan selepas diterbitkan.

Peminatkini  boleh melayari lagu Mahukah Kamu di kesemua platform streaming seperti Spotify, Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast