Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah pelancong India yang tinggi akan memacu kedatangan penumpang di lapangan-lapangan terbang milik Malaysia Airports Holdings Berhad kerana tiada penularan koronavirus di Malaysia.

Kedatangan pelancong India tanpa visa yang ditangguhkan sepanjang tahun ini akan mengimbangi penurunan ketibaan pelancong China.

MIDF Amanah Investment Bank Research (MIDF Research) berkata, jumlah ketibaan pelancong India mencecah kira-kira 600,000, hampir sama dengan Korea Selatan dan lebih tinggi 52.2% berbanding pelancong Jepun.

Faktor pertumbuhan itu termasuk penerbangan terus dari syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa ke lokasi seperti Langkawi.

“Berikutan itu, kami percaya jumlah penumpang MAHB boleh mencapai sasaran 110.8 juta pada tahun ini, mengambil kira kadar pertumbuhan 5.4%.

Menurut firma penyelidikan itu, berikutan wabak SARS tahun 2003, pertumbuhan lalu lintas penumpang MAHB di Malaysia berkurangan kepada 1.5% tahun ke tahun dengan jumlah penumpang antarabangsa di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) penerbangan ke dan dari China merosot 10.7% tahun ke tahun.

Katanya, trafik penumpang di lapangan terbang MAHB meningkat pada tahun 2004, meningkat 17.8% tahun ke tahun dengan penumpang antarabangsa dari China di terminal utama KLIA meningkat 75.8% tahun ke tahun pada tahun yang sama.

Berdasarkan analisa wabak SARS antara November 2002 dan Julai 2003, penumpang mengambil purata dua hingga tiga bulan untuk kembali seperti biasa, katanya.

Di Malaysia sahaja, bulan April 2003 menyaksikan penurunan sebanyak 30.1% bulan ke bulan kepada 1.02 juta penumpang pada April 2003, kadar paling rendah untuk tahun itu.

Walau bagaimanapun, ini berubah pada bulan Jun dengan pergerakan penumpang meningkat sebanyak 18.1% bulan ke bulan dan pada bulan Julai naik 19.06% bulan ke bulan untuk mencecah paras biasa sebanyak 1.48 juta penumpang.

Manakala di China, pada bulan Mei 2003 menyaksikan penurunan sebanyak 66.7% bulan ke bulan sebelum meningkat 50% bulan ke bulan pada bulan Jun 2003 dan kenaikan 166.7% bulan ke bulan pada Julai 2003.

Memandangkan ia berlaku hampir 20 tahun yang lalu, firma penyelidikan ini percaya bahawa kemajuan teknologi dalam penjagaan kesihatan akan membendung penyakit ini dengan lebih baik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memutuskan bahawa wabak virus, yang pertama kali dilaporkan di Wuhan, China, pada ketika ini bukanlah kecemasan kesihatan global.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati kerajaan China mengambil langkah-langkah mengawal penyebaran virus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast