Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Amirudin Shari mengakui beliau memahami perasaan pemimpin parti  yang telah menerima surat tunjuk sebab dari Lembaga Disiplin PKR.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkongsi rasa itu kerana pernah mengalami pengalaman yang sama sebelum ini.

Namun beliau bersyukur kerana suratnya diterima penjelasan oleh Lembaga Disiplin PKR selepas mengikut proses yang ditetapkan.

“Saya awal-awal dapat surat dan saya jawab. Saya tahu perasaan yang dapat surat itu. Alhamdulillah, surat saya diterima dan jika ikut proses, tiada masalah tetapi muafakat itu sangat penting.

“Ada isyarat yang baik selepas kongres ada yang datang mesyuarat dan ada pertemuan tetapi apa yang kita lihat kita tidak mahu benda-benda macam itu dikembangkan dan berpanjangan,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap pada sidang media mengenai Inisiatif Pembaharuan Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Penghulu Mukim Batu Jalan Sungai Tua, Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JANUARI 2020

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Mukim Penghulu Batu hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Lembaga Disiplin PKR yang mula memberi surat tunjuk sebab kepada beberapa pemimpin parti dengan terbaharu adalah Penasihat Timbalan Presiden PKR, Khalid Jaafar.

Khalid yang dituduh memuatnaik artikel yang menimbulkan sangkaan tidak baik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui laman sosial Facebook diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab surat tersebut.

Sebelum itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin turut diberikan surat tunjuk sebab berikutan aduan yang dibuat berkaitan dengan ucapan berapi Ahli Parlimen Ampang itu pada majlis makan malam di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast