Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta bertindak segera menangani wabak koronavirus dan jangan rakyat dibelenggu masalah jika lambat menanganinya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah tidak mahu isu pencemaran Sungai Kim-Kim berulang di mana ramai menjadi mangsa keadaan.

“Maka, keselamatan rakyat mestilah diutamakan. Untuk apa pentingkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 jika nyawa rakyat sendiri terancam?

“Kerajaan PH mesti meletakkan keutamaan bila berhadapan dengan krisis seumpama ini.

“Apatah lagi hampir kebanyakan pintu masuk utama ke Malaysia menerima kehadiran pelancong China,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shamsul Anuar, kerajaan PH mesti meningkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk ke negara ini dengan membuat saringan ketat kemasukan pelancong atau sesiapa juga yang datang dari negara berkenaan.

“Kerajaan China sendiri telah mengadakan sekatan kepada jutaan rakyatnya di Wilayah Wuhan China. Segala bentuk pengangkutan ke daerah ini dihentikan.

“Semua ini menunjukkan betapa seriusnya wabak koronavirus. Apatah lagi dilaporkan oleh Reuters bahawa dengan cepat wabak ini mula merebak ke wilayah lain termasuk Beijing dan Shanghai.

“Ini membimbangkan pelbagai pihak,” tambah Ahli Parlimen Lenggong itu.- MalaysiaGazette