KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini menegaskan bahawa beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada agensi di bawah portfolionya termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) menjalankan urusan mereka tanpa campur tangan politik.

Katanya TH Plantations Berhad (THP), yang merupakan anak syarikat TH, turut diberi kepercayaan serupa.

“TH hanya memiliki 72 peratus saham dalam THP dan saya langsung tidak mencampuri sebarang urusan jual beli melibatkan THP.

“Ini kerana, saya berkeyakinan tinggi bahawa pihak pengurusan THP yang baru dapat menyelamatkan syarikat ini daripada terus mengalami kerugian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada satu sidang media di ibu negara semalam, yang mendesak Mujahid menyatakan pendirian berhubung keputusan Lembaga Pengarah THP menjual 14 anak syarikat yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 76,975 hektar yang dibangkitkan baru-baru ini.

Menjelaskan bahawa sebarang transaksi jual beli adalah perkara biasa dalam syarikat perniagaan, Mujahid melahirkan rasa hairan dengan tindakan Asyraf Wajdi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan isu jual beli tanah yang melibatkan THP.

“Sedangkan, persoalan yang perlu ditanya adalah mengapa mereka membeli tanah-tanah ini dulu sehingga tanah ini terpaksa dijual dan THP mengalami kerugian”

Menegaskan bahawa THP kini berada di landasan yang benar dengan menjalankan urusan pentadbiran yang telus tanpa sebarang campur tangan politik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengalu-alukan Asyraf Wajdi membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan, jika beliau mempunyai bukti yang kukuh wujudnya penyelewengan semasa urusan jual beli tanah THP.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Mujahid, letak jawatan jika tak boleh selesai isu penjualan anak syarikat TH

1 Komen

  1. Tanya umno, kenapa THP beli & jual perkebunan di indonesia PT TH indo…

    Ini yg perlu asyraf kena buat laporan ke sprm

    Ini melibatkan billion RM

Comments are closed.