ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan rendah minggu depan, didorong oleh sentimen pasaran yang lemah ekoran kebimbangan mengenai penularan wabak coronavirus yang membelenggu pasaran, selain keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Seorang peniaga berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka didagangkan di antara 1,551 dan 1,580 dalam tempoh terdekat,

“Wabak Coronavirus menyebabkan pasaran ekuiti dunia berada dalam kedudukan tidak menentu, dengan pelabur bimbang terhadap impak ke atas China, ekonomi kedua terbesar dunia.

“Namun saham pengeluar sarung tangan terus menunjukkan ketahanan apabila jumlah kematian akibat wabak coronavirus meningkat,” katanya kepada Bernama.

Kenanga Research berkata selepas 24 hari, 18 meninggal dunia dan 653 kes dilaporkan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengisytiharkan wabak yang berasal dari Wuhan China itu sebagai kecemasan global walaupun penyakit jangkitan respiratori berbahaya itu sudah merebak ke sekurang-kurangnya sembilan negara.

Firma penyelidikan itu berkata kebimbangan utama ialah coronavirus yang menyerupai virus SARS, yang berasal dari Wilayah Guangdong, menyaksikan sejumlah 5,327 kes dilaporkan dan 349 kematian di China dalam tempoh sembilan bulan (Nov-2002 hingga Julai 2003).

“Kebimbangan utama ialah virus itu mungkin tersebar dengan pantas oleh aktiviti perjalanan yang lebih tinggi semasa Tahun Baharu Cina, seperti yang berlaku semasa wabak SARS pada 2003.

Sementara itu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk mengurangkan OPR kepada 2.75 peratus daripada 3.0 peratus sebagai langkah awal untuk memastikan peningkatan trajektori pertumbuhan dalam persekitaran harga yang stabil.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 23 mata kepada 1,572.81 berbanding 1,595.81 sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan kadar OPR dan coronavirus.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 116.89 mata kepada 11,246.66, Indeks FBMT 100 turun 120.40 mata kepada 11,032.33, Indeks FBM ACE meningkat 115.28 mata kepada 5,680.40, Indeks FBM Emas Shariah turun 51.08 mata kepada 11,968.14 manakala FBM 70 menambah 12.34 mata kepada 14,222.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 315.17 mata kepada 15,103.07, Indeks Perladangan turun 110.68 mata kepada 7,424.75 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.93 mata kepada 151.95.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 12.15 bilion unit bernilai RM9.30 bilion daripada 13.24 bilion unit bernilai RM9.27 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 7.34 bilion saham bernilai RM8.22 bilion daripada 8.67 bilion saham bernilai RM8.23 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.72 bilion unit bernilai RM294.92 juta daripada 1.41 bilion unit bernilai RM249.92 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 3.08 bilion saham bernilai RM790.80 juta daripada 3.16 bilion saham bernilai RM783.04 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette