BEIJING – Penularan wabak maut koronavirus kini telah meluas, kata Presiden China, Xi Jinping selepas mengadakan mesyuarat khas pada sambutan Tahun Baru Cina.

“Negara sedang menghadapi “situasi yang serius” kata Jinping.

Koronavirus telah membunuh sekurang-kurangnya 42 orang dan menjangkiti kira-kira 1,400 sejak penemuannya di bandar Wuhan.

Sementara itu, penyelidik yang berpangkalan di United Kingdom memberi amaran kemungkinan besar China tidak dapat mengawal virus itu.

Sekatan perjalanan telah berlaku di beberapa bandar raya yang dijangkiti virus tersebut.

Mulai hari Ahad, kenderaan persendirian akan diharamkan dari daerah Wuhan.

Hospital kecemasan kedua akan dibina di sana dalam beberapa minggu ini untuk mengendalikan 1,300 pesakit baru dan akan siap dalam setengah bulan, kata akhbar People’s Daily.

 

Xi Jinping. foto Agensi

Ia merupakan projek pembinaan segera kedua selepas penempatan 1,000 katil lain telah pun bermula.

Pasukan perubatan pakar tentera juga telah diterbangkan ke wilayah Hubei, Wuhan yang menjadi punca penularan wabak itu.

Wabak itu kini menjadi kebimbangan China dan negara-negara lain sejak ia muncul kali pertama pada bulan Disember.

Susulan itu, sambutan Tahun Baru Cina bagi tahun tikus yang bermula pada hari Sabtu telah dibatalkan di kebanyakan bandar di China.

Di Hong Kong, amaran kecemasan tahap tertinggi telah diumumkan dan cuti sekolah dilanjutkan.

Koronavirus adalah terdiri dalam keluarga virus termasuk selsema biasa.

Tetapi virus ini belum pernah muncul sebelum ini, lantaran itu ia dikenali sebagai 2019-n-Cov bagi “novel koronavirus”.

Virus baru boleh menjadi biasa pada manusia selepas melintasi halangan spesies daripada haiwan.

Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) yang teruk pada tahun 2003 bermula dengan kelawar dan dipindahkan kepada kucing civet yang kemudian memindahnya kepada manusia.

Pihak berkuasa China mengesyaki pasaran makanan laut yang “melakukan transaksi haram haiwan liar” menjadi punca wabak tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast