Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa sidang media selepas mesyuarat berkenaan insiden Cluster Novel Koronavirus di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak bercadang membawa keluar rakyat negara ini yang berada di Wuhan, China, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Buat masa sekarang tidak ada keperluan untuk bawa mereka keluar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Koronavirus (2019-nCoV), di pejabatnya, hari ini.

Sementara itu mengulas isu yang sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kedutaan Malaysia di Xian sentiasa berhubung dengan semua mereka.

Saifuddin Abdullah 

“Buat masa ini kita bergantung kepada tahap kritikal keadaan, jadi buat masa ini belum ada perancangan untuk proses pindahkan mereka,” jelas Saifuddin.

Menurut Duta Malaysia ke China, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin, sehingga semalam, seramai 28 rakyat Malaysia terdiri daripada mahasiswa dan golongan profesional masih berada di Wuhan.

Mereka kini menjalani perintah berkurung susulan penularan koronavirus di bandar raya itu.

Ketika ini, kesemua mereka masih bebas daripada jangkitan berkenaan. – MalaysiaGazette