Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan azizah Wan Ismail bercakap semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan insiden Cluster Novel Koronavirus di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil pendekatan untuk tidak menghentikan pemberian visa kepada warga China yang ingin ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Putrajaya mengambil saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan negara China.

“Apa yang Perdana Menteri katakan, kita ikut apa yang disarankan WHO belum sampai tahap itu namun kita meneliti menimbang bagaimana kita dapat kurangkan. Tapi pada tahap sekarang kita ambil petunjuk daripada WHO,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Koronavirus (2019-nCoV), di pejabatnya, hari ini.

Bagaimanapun, WHO telah menggesa negara-negara anggota untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di peringkat masing-masing bagi menghadapi potensi penularan virus ini.

Mengenai soalan adakah visa pelancongan China akan dihentikan, beliau berkata, mengikut saranan WHO situasi di negara ini belum sampai ke tahap itu.

“Kita ambil kira daripada apa yang WHO katanya. Kita sudah hentikan mereka datang. Malah negara China pun sudah sekat penduduk Wuhan keluar daripada wilayah itu,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, awal hari ini berkata koronavirus di negara ini belum memasuki tahap serius.

Malah katanya, pihak berkuasa belum merancang untuk melarang kemasukan pelancong dari Wuhan, China ke negara ini yang masih belum sampai ke tahap kritikal.

Beliau berkata, kebanyakan negara sudah mengambil langkah tertentu berikutan itu situasi serius kerana virus ini tidak dikenali sebelum ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast