Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mendesak semua syarikat penerbangan membenarkan kakitangan dan kru yang berhubungan secara langsung dengan para penumpang untuk memakai topeng muka.

Ini adalah bagi mengelakkan anak-anak kapal berkenaan dijangkiti koronavirus ketika mereka mengendalikan penerbangan terutamanya dari China.

“Syarikat penerbangan tidak boleh memaksa anak-anak kapal membuka topeng muka mereka semasa penerbangan.

“Syarikat penerbangan juga tidak boleh menegah anak-anak kapal untuk memakai topeng muka dan sarung tangan ketika berkerja dalam penerbangan yang berisiko,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ia susulan tujuh anak kapal Malindo Airw yang dikuarantin hari ini.

Menurut NUFAM, mereka menerima laporan yang mengatakan terdapat syarikat penerbangan yang belum mengeluarkan notis malah ada yang masih belum membenarkan anak-anak kapal dan kakitangan untuk memakai topeng muka.

“Kami sangat bimbang mengenai perkara ini kerana nampak gayanya syarikat-syarikat penerbangan lebih mementingkan imej mereka dengan melarang anak-anak kapal daripada memakai topeng muka.

“Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan seharusnya mengeluarkan arahan kepada syarikat-syarikat penerbangan tersebut tanpa bertangguh lagi.

“Kami telah melihat isu ini semasa berlakunya wabak SARs dan H1N1 dan terdapat kelewatan dalam mengeluarkan notis membenarkan anak-anak kapal memakai topeng muka.

“Sesetengah syarikat penerbangan tidak membenarkan anak-anak kapal mereka memakai topeng muka kerana tidak mahu menimbulkan panik kepada penumpang tetapi kebajikan pekerja seharusnya diberi keutamaan juga,” katanya lagi.

NUFAM juga menggesa syarikat-syarikat penerbangan tempatan bertindak pantas dengan menyediakan sarung tangan, topeng dan gel anti-bakteria di dalam pesawat. – MalaysiaGazette