PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Tiga lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berkonvoi di Kilometer 201 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Barat di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan pada 9.05 malam berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang itu turut menyebabkan dua lagi penunggang motosikal parah.

Mereka yang maut ialah Azlee Mat Daud, 40, Muhammad Amirul Faris Abdullah, 25, dan Syamil Nazir@Nasir, 32, yang mana semuanya berasal dari daerah Maran, dekat sini.

“Kemalangan dipercayai berpunca selepas lima buah motosikal yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Maran bergesel menyebabkan mereka terjatuh di lorong laju lebuh raya itu,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, setakat ini, seorang mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Mohd Hisham Sulaiman, 39, juga difahamkan dari Maran manakala identiti seorang lagi mangsa masih belum diperoleh.

Semua mangsa terlibat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama