Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Malaysia terselamat dan disisihkan daripada wabak koronavirus yang mula dikesan di negara mutakhir ini.

Presiden PKR itu turut menasihatkan rakyat supaya  mengutamakan aspek kebersihan dan bagi yang beragama Islam menyahut seruan mufti Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, untuk terus mengadakan solat hajat.

“Saya memohon doa supaya Malaysia terselamat dan disisihkan daripada wabak koronavirus, marilah kita bersama-sama menunaikan solat hajat dan menyahut seruan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memohon doa supaya Malaysia terselamat daripada sebarang wabak penyakit.

“Kita tidak perlu diam berpeluk tubuh dan diharapkan semua pihak dapat lakukan usaha sama ini bagi menghindari virus ini daripada terus membawa keresahan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Kenyataan itu sempena satu majlis yang diadakan di rumah pemimpin PKR itu malam tadi.

Terbaharu, seorang lagi suspek yang disyaki menghidapi koronavirus dicatatkan di Bintulu, melibatkan seorang wanita.

Suspek kini dikuarantin di Hospital Bintulu sehingga keputusan ujian makmal selesai.

Sebelum ini empat pelancong dari negara China disahkan positif koronavirus dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Wanita berusia 25 tahun berkenaan ke Wuhan atas urusan kerja pada 11 Januari lalu sebelum tiba dan transit di Kota Kinabalu Sabah lima hari lalu.

Pada 26 Januari wanita itu pergi ke Hospital Columbia Asia untuk mendapat rawatan selepas mengalami demam. -MalaysiaGazette