KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah menubuhkan Pasukan Respon Kecemasan atau Emergency Response Team (ERT) bagi membantu rakyat negara ini yang berada di sana mendapatkan maklumat perkembangan terkini mengenai 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia merupakan usaha berterusan pihak kedutaan Malaysia di negara berkenaan dan pejabat-pejabat Konsul Jeneral Malaysia di China dalam memantau perkembangan terkini wabak ini.

“Semenjak timbulnya wabak jangkitan Koronavirus, pihak Kedutaan dan pejabat-pejabat Konsul Jeneral Malaysia di China sentiasa memantau dan memberi laporan terkini berhubung perkembangan wabak jangkitan coronavirus.

“Mereka turut menghubungi rakyat Malaysia yang telah berdaftar di Kedutaan/Pejabat Konsul Jeneral di seluruh China bagi memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia terjaga dan dipelihara.

“Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah menubuhkan satu Emergency Response Team (ERT) bagi tujuan tersebut,” katanya di Facebook.

Saifuddin turut berterima kasih terhadap semua pegawai dan kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an terhadap komitmen tinggi daam menangani dan membantu rakyat Malaysia berhadapan dengan wabak coronavirus 2019-nCoV.

Ujarnya lagi usaha membendung wabak nCov perlu dilakukan secara berterusan sehingga ia dapat ditangani sepenuhnya.

Terkini, angka kematian akibat wabak koronavirus di China meningkat kepada 81 orang pada hari ini menyebabkan kerajaan melanjutkan cuti Tahun Baharu Cina manakala syarikat-syarikat besar menutup operasi mereka atau meminta para pekerja bekerja dari rumah bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Jumlah kes yang telah disahkan di China meningkat kira-kira 30 peratus kepada 2,744 yang mana separuh daripadanya adalah penduduk wilayah Hubei iaitu ibu kota Wuhan.-MalaysiaGazette