Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menunjukkan beriita palsu semasa sidang media selepas melawat Pusat Pemantauan Saringan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 JANUARI 2020

SEPANG – Malaysia telah berhenti menerima pelancong dari Wuhan, China sejak 23 Januari lalu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Langkah itu, katanya, seiring dengan tindakan China pada tarikh sama yang menyekat 11 juta penduduk di Wuhan keluar selain menghentikan pengangkutan awam dan menutup lapangan terbang di wilayah itu untuk sementara waktu.

Sehubungan dengan itu, Dzulkefly menafikan berita palsu yang ditularkan di media sosial mengatakan bahawa Malaysia masih menerima pelancong dari Wuhan.

“Sementara ada yang kata kita masih terima pelawat daripada Wuhan, saya ingin menegaskan tidak perlu disekat atau dihalang masuk, sebab pada 23 Januari lagi China mengisytiharkan lock down di Wuhan

“Jadi memang kita tidak ada pelawat daripada Wuhan sejak itu. Inilah beberapa contoh dan saya kononnya mengatakan pelancong China digalakkan ke Malaysia dan sebagainya,” katanya ketika sidang media di KLIA2.

Dzulkefly terdahulu melakukan tinjauan pelaksanaan saringan untuk mengesan nCov 2019 di KLIA dan KLIA2 

Turut mengiringi beliau, Timbalan Ketua Oengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr  Rohaizat Yon,  Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Indera Dr Shaari Ngadiman.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semalam, Menteri Kesihatan itu turut menggesa masyarakat mendapatkan maklumat  sahih daripada saluran rasmi termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain dirinya sendiri sebagai Menteri Kesihatan dari masa ke semasa.

Langkah itu, katanya, bagi mengelak orang ramai terpengaruh berita palsu yang ditularkan sewenang-wenangnya.

“Saya ingin tekankan YDPA menyebut dalam titah baginda supaya kita sentiasa mendapat maklumat yang sahih daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan saya sendiri Menteri Kesihatan termasuk Ketua Pengarah, hanya dengan itu kita dapat mengawal penularan.

“Kita ada dua masalah virus dan masalah meruncing berita-berita palsu seumpama ini kononnya hanya kita yang tidak mengharamkan menutup pintu masuk warga China,” katanya lagi.

Semalam Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat Malaysia agar memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan diri susulan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang melanda beberapa negara termasuk Malaysia, ketika ini.

Seri Paduka berdua turut menitahkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan terkini wabak itu dengan membaca pelbagai maklumat yang disebarkan melalui mana-mana saluran rasmi KKM.

Untuk memudahkan masyarakat memahami perkembangan terkini mengenai nCov, KKM kata Dzulkefly akan menyenaraikan artikel yang palsu dalam masa terdekat.-MalaysiaGazette