Petugas kesihatan terpaksa menaiki bot atau perahu, meredah air serta berjalan sejauh tiga kilometer untuk sampai ke kampung yang dituju. Foto: FB KP Kesihatan

KUALA LUMPUR – Setakat 25 Januari lalu seramai 109,232 daripada 392,040 atau kira-kira 27.93 peratus kanak-kanak berusia 0 hingga lima tahun di 25 daerah di Sabah telah diberikan vaksin polio secara oral.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kempen Imunisasi Polio Sabah yang berlangsung selama sebulan itu adalah sangat mencabar kepada petugas-petugas kesihatan disebabkan faktor logistik dan keselamatan.

“Pelaksanaan Aktiviti Imunisasi Tambahan (SIA) di beberapa daerah amat mencabar daripada segi logistik dan keselamatan kakitangan kesihatan.

“Contohnya, mereka perlu menaiki bot atau perahu, meredah air serta berjalan sejauh tiga kilometer untuk sampai ke kampung yang dituju.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas kesihatan dan sukarelawan di lapangan yang sedang bertungkus-lumus dalam menyelamatkan negara daripada polio.

“Mereka ini bukan selebriti TV dan dunia perfileman. Mereka adalah ‘the invisible public health’ dan wira-wira yang tidak didendang oleh masyarakat umum dan media. Hargailah jasa petugas kesihatan tatkala perkhidmatan ini semua masih ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada awal Disember tahun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan Malaysia mengalami kes polio pertama selepas 27 tahun diisytiharkan bebas daripada virus berkenaan.

Ini selepas seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit berkenaan.

Ia mendorong KKM melancarkan Kempen Imunisasi Polio Sabah pada 27 Disember lalu.- MalaysiaGazette

#SaveMalaysiaFromPolio