Video kemalangan melibatkan bas dan beberapa kenderaan tular semalam dikatakan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak adalah palsu.

KUALA LUMPUR –  Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menafikan satu video kes kemalangan maut melibatkan sebuah bas dengan beberapa kenderaan lain yang didakwa berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.

Hasil semakan mendapati, video berkenaan merupakan kejadian kemalangan yang berlaku pada 10 Oktober 2010 di KM 223 Lebuhraya Utara Selatan (Pedas -Linggi), Negeri Sembilan yang ditularkan semula dalam laman sosial.

Penjelasan itu dimuatnaik di Facebook JSPT.

Video berkenaan juga dikesan telah beberapa kali ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hingga mencetuskan kegusaran kepada pengguna jalan raya.

Masyarakat dinasihatkan agar merujuk sesuatu isu kepada pihak berkuasa terlebih dahulu, dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan tanpa maklumat yang sahih.

Penyebaran berita palsu merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Elakkan jadi mangsa berita palsu. Tidak pasti, jangan kongsi! – MalaysiaGazette