Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) dituntut menjelaskan rasional meminta perayu haji untuk menandakan pada borang sama ada mereka bersetuju untuk membayar penuh kos haji RM22,900 atau tidak.

Persoalannya, apakah jaminan perayu yang menandakan tidak bersetuju untuk membayar penuh kos RM22,900 akan menerima pertimbangan yang adil.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, apakah akan wujud diskriminasi terhadap layanan jemaah haji muassasah yang membayar penuh dengan yang bayar kos bersubsidi.

“Adakah ia ada kaitan dengan pertemuan TH dengan Mufti-Mufti Jumaat lalu untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkan organisasi itu mengenakan caj penuh kepada perayu atas hujah istito’ah (kemampuan).

“Apakah ini satu kaedah U-turn setelah mendapat bantahan rakyat tatkala Menteri pada awalnya mengumumkan untuk mengurangkan subsidi haji,” soal beliau.

Dalam siaran pemaklumanan itu, katanya, TH menyatakan terserah kepada pihak perayu untuk membayar penuh secara sukarela.

Dengan bahasa mudah, terserah siapa yang nak bayar penuh RM22,900 atau nak bayar kos bersubsidi RM9,980.

Bagaimanapun, menurut Asyraf, orang yang rasional sudah tentu akan pilih untuk membayar RM9,980 berbanding RM22,900.

Lantaran itu, Asyraf meminta Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa tampil memberikan pencerahan sebagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tampil mengumumkan kejayaan kenaikan kuota rasmi haji tempoh hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast