KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) telah melantik Datuk Azmir Merican Azmi Merican sebagai pengarah urusan kumpulannya berkuat kuasa pada 22 April tahun ini.

Pengerusi Sime Darby Property Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, Azmir Merican akan menggunakan pengalaman luasnya menerusi latar belakangnya sebagai nasihat kewangan dan pemimpin kanan dalam perniagaan.

“Pelantikan Azmir Merican akan mengukuhkan komitmen lembaga pengarah dalam memastikan kepimpinan Sime Darby Property dalam industri dan ke arah mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan bagi pemegang kepentingannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Datuk Wan Hashimi Albakri akan meneruskan peranannya sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sehingga tarikh pelantikan Azmir Merican pada 22 April depan dan seterusnya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran.

Azmir Merican memulakan kerjayanya sebagai penganalisis pelaburan dan kemudian menjadi Pengurus dalam cabang Penasihat Korporat dan Kewangan PricewaterhouseCoopers.

Beliau kini adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Bhd, mengetuai transformasi berterusan terhadap syarikat itu menjadi sebuah syarikat berasaskan teknologi yang memberi perkhidmatan kepada sektor penjagaan kesihatan, hartanah dan infrastruktur.

Sebelum ini, Azmir Merican juga memegang jawatan Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan AWC Bhd. – MalaysiaGazette