Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Amanat Tahun 2020 KPDNHEP di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Presint 2, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 28 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution meminta pegawai-pegawai di kementeriannya menegurnya jika beliau ada melakukan kesilapan.

Malah, setiap warga kementerian tersebut juga tidak perlu merasa ‘takut’ untuk berbuat demikian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

Langkah itu adalah bagi menampakkan kementerian yang dipimpinnya menjadi sebuah organisasi yang boleh berjalan dengan baik.

“Saya istighfar banyak-banyak, saya mohon sungguh-sungguh kepada pegawai-pegawai terutamanya yang sering berurusan dengan saya, ingatkan saya dengan apa cara sekali pun.

“Kalau saya terlupa, kalau saya tersilap, kalau saya terlepas (beri teguran), barulah organisasi itu boleh berjalan dengan baik. Mudah mudahan ia akan dipermudahkan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baru 2020 di kementeriannya di hari ini.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Saifuddin turut berpesan agar warga kerja KPDNHEP memberikan fokus kepada isu-isu berkaitan substantif atau yang ada kepentingan langsung dengan orang ramai.

Ujarnya, sesuatu perkara perlu diambil serius dengan tidak boleh dipandang remeh dan ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Tak lengkap tugas saya kalau saya tak sampaikan perkara penting untuk kita memperbaiki ataupun menambah baik cara komunikasi kita,” ujarnya.

Pada majlis tersebut Saifuddin turut merasmikan wajah baharu portal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Portal sebagai gerbang utama kementerian sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi menyediakan makumat yang lebih komprehensif seiring dengan kriteria yang ditetapkan Sistem Pemantauan Laman Web dan Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (SPLaSK). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast