Datuk Shamsubahrin Ismail. foto HAZROL ZAINAL,10 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan digesa mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail menyifatkan toleransi yang tinggi dengan pesalah-pesalah seperti ini mengakibatkan kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk semakin meningkat, lebih buruk ia meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Kementerian Pengangkutan terutama sekali Anthony Loke Siew Fook tidak perlu berfikir dan berbincang panjang berkenaan pemandu mabuk.

“Hal ini bukan politik, ini adalah satu kesalahan yang amat bahaya dan tidak boleh ditoleransi kerana menyebabkan risiko tinggi atau mereka yang berjalan kaki di atas jalan raya terdedah kepada masalah keselamatan.

“Mabuk, dadah tolak tepi. Tidak ada kompromi buat mereka ini,  saya ingin menasihatkan Kementerian Pengangkutan supaya tidak lagi melengahkan untuk kenakan keputusan berat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu beliau menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cadangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan kompaun kepada RM5,000 sebagai hukuman kepada pemandu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Jelas beliau, jumlah kompaun itu rendah untuk memberikan pengajaran kepada pesalah, sebaliknya ia perlu ditingkatkan beserta hukuman denda yang setimpal.

“Sekiranya pemandu datang dari VVIP, ahli perniagaan sekali pun pemandu teksi dan bukan pemandu teksi, sesiapa sahaja rakyat mana-mana tidak kira siapa ada di atas jalan raya Malaysia tindakan ini bukan sahaja perlu dikenakan kompaun sehingga RM5,000 seperti yang dicadang PDRM tetapi lebih tinggi perlu dikenakan,” katanya.

Beliau turut mendakwa pernah menerima aduan daripada pelanggan tentang pemandu e-hailing yang memandu dalam keadaan mabuk, malah lebih teruk pemandu tersebut tiada Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Baru-baru ini seorang pemandu lelaki, dipercayai di bawah pengaruh alkohol, merempuh sebelas kenderaan lain di kawasan parkir di Flat Taman Kota Pendamar 2, Klang.

Dalam kejadian 9.35 malam itu, pemandu berusia 46 tahun itu dipercayai memandu dari Pendamar Indah menghala ke Pelabuhan Klang. sebelum melanggar pelbagai kenderaan di flat terbabit.

Selain itu, pada 25 Januari lalu polis dilaporkan menahan seorang lelaki kerana memandu dalam keadaan mabuk sebelum melanggar sebuah kereta dan sebuah motosikal sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di Jalan Ayer Itam.

Justeru kerana bimbang tentang situasi terkini Shamsubahrin menggesa agar isu pemandu mabuk yang semakin membimbangkan itu ditangani segera oleh Kementerian Pengangkutan.

Menyatakan keprihatinan terhadap perkara itu, beliau akan menghantar surat rasmi kepada Anthony Loke Siew Fook esok agar satu tindakan drastik diambil bagi menangani masalah tersebut. – MalaysiaGazette