LAUSANNE, Switzerland – Kobe Bryant adalah ‘seorang yang terserlah dan juara Olimpik sebenar’, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

Pemain bola keranjang itu, yang terbunuh dalam nahas helikopter berhampiran Los Angeles pada Ahad lalu, membantu Amerika Syarikat (AS) meraih pingat emas pada Temasya Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Bryant turut terlibat dengan bidaan Los Angeles untuk menjadi tuan rumah Olimpik yang mana beliau memenangi lima kejuaraan liga bola keranjang lelaki National Basketball Association (NBA) bersama Lakers.

Apabila Los Angeles menjadi tuan rumah temasya Olimpik 2028, pasukan bola keranjang akan bermain di Staples Center di mana Bryant bermain untuk Lakers, lapor AP.

“Beliau membawa bersama kuasa sukan untuk merubah kehidupan manusia.

“Selepas bersara daripada sukan yang dicintai, beliau terus menyokong pergerakan Olimpik dan menjadi inspirasi Temasya Sukan Olimpik 2028” kata Bach dalam satu kenyataan yang diterbitkan IOC.

Byrant menyumbangkan suaranya dalam segmen rakaman bidaan Los Angeles yang disiarkan pada Julai 2017. Beliau merupakan ahli lembaga pengarah bidaan itu.

“Terdapat banyak perbezaan budaya yang diwakili di sini, banyak perbezaan etnik di sini.

“Ia adalah peluang pembelajaran, tidak kira di mana anda melihatnya,” katanya mengenai Los Angeles dalam video itu.

Bryant ,41, dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, Gianna merupakan antara sembilan orang yang terbunuh dalam nahas di Calabasas ketika keadaan cuaca berkabus pada pagi Ahad.

“Kami akan merindui tenaganya dan sikap rendah dirinya,” kata Bach.

Setiausaha Agung Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa, Andreas Zagklis menyifatkan Bryant sebagai ‘matahati dalam alam bola keranjang, menyinar di dalam dan di luar gelanggang’. Agensi