Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ops Selamat Polis Diraja Malaysia sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2020 yang memasuki hari ke-10 sehingga semalam menyaksikan angka kematian penunggang dan pembonceng motosikal seramai 102 orang.

Peningkatan angka sejak beberapa hari kebelakangan ini daripada jumlah keseluruhan 150 kematian melibatkan 138 kemalangan maut mula mencetuskan kebimbangan.

Sumber Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman yang dikeluarkan hari ini menunjukkan sebanyak 15,341 kes kejadian kemalangan direkodkan sejak Ops Selamat bermula 18 Januari lalu.

Daripada angka itu, seramai 146 individu cedera ringan manakala 86 orang cedera parah.

Seperti dijangka angka tertinggi kematian adalah daripada penunggang dan pembonceng motosikal.

Seperti biasa, Selangor terus merekodkan angka tetinggi jumlah kes kemalangan iaitu sebanyak 4,325 kes diikuti Johor (2,406 kes) dan Kuala Lumpur (1,697 kes).

Tiga negeri di utara Semenanjung iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak pula masing-masing merekodkan 754 kes, 1,238 kes dan 1,273 kes kemalangan.

Perlis sekadar merekodkan 51 kes sahaja tetapi masih mengekalkan rekod bersih bebas kemalangan maut yang membawa kematian pengguna pada hari ke-10 Ops Selamat.

Daripada segi kemalangan maut Selangor juga kekal dengan 25 kes maut diikuti Johor (17); Sarawak (16); Kedah (13); manakala Pahang dan Kelantan masing masing merekodkan 12 kes.

Selangor juga mendahului statistik jumlah kes kematian iaitu 27 kematian diikuti Johor 18 kes kematian dan Perlis satu-satunya negeri Utara Semenanjung bebas tanpa sebarang insiden kematian di jalan raya.

Sumber Bukit Aman juga menyatakan sebanyak 261,790 saman dikeluarkan sepanjang 10 hari Op Selamat manakala 165,099 saman daripadanya adalah dikeluarkan untuk enam kesalahan paling utama dilakukan oleh pemandu jalan raya.- MalaysiaGazette