Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Khas dan Sesi Taklimat Berkaitan Isu Novel Koronavirus di Pejabat Kementeri Pelancongan, Seni dan Budaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 28 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan merekodkan 65 kes kumulatif Pesakit Dalam Siasatan (PUI) 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) dalam tempoh 18 hari bermula 10 Januari hingga jam 12 tengah hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kumulatif PUI itu melibatkan warganegara Malaysia 34 orang, warga China (30) dan rakyat Jordan (1).

Daripada 65 kes itu, katanya, satu kes positif 2019-nCoV, manakala 61 kes PUI adalah negatif iaitu 34 warganegara Malaysia, 26 warganegara China dan satu warganegara Jordan.

Katanya, tiga lagi kes PUI melibatkan warganegara China dan masih menunggu keputusan makmal.

“Tiga orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura yang disahkan positif jangkitan itu masih dirawat di wad isolasi dan dalam keadaan stabil.

“Semua 17 kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV keempat telah disahkan negatif dan telah dilepaskan dari menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sejak 4 Januari lalu, kementeriannya telah meningkatkan saringan ke atas semua pengembara (penumpang dan anak kapal) dari negara China di semua 64 Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah menghadapi 2019-nCoV.

Saringan itu, katanya, dilakukan di semua PMA melibatkan lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan serta pintu masuk darat di negara ini dengan menggunapakai tiga pendekatan.

“Pendekatan pertama, saringan demam dengan menggunakan thermal scanner. Ketika ini terdapat 54 thermal scanner di beberapa PMA utama negara dan mana-mana pengembara dikesan demam akan diperiksa oleh paramedik untuk mengesahkan demam.

“Sejarah perjalanan ke China dalam tempoh dua minggu sebelum tiba di Malaysia akan diperolehi. Sekiranya pengembara memenuhi kriteria PUI akan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Rujukan ke hospital akan menggunakan kenderaan ambulan khas dengan diiringi anggota terlatih yang memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan jangkitan,” katanya.

Kataya, bagi pengembara yang tidak memenuhi kriteria PUI akan diberi Home Assessment Tool dan diletakkan di bawah Home Surveillance untuk tempoh 14 hari.

Mereka yang didapati batuk, tetapi tiada demam akan diberikan penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan penularan penyakit itu kepada umum.

Sementara itu, menurut Dr. Dzulkefly, pengembara yang tidak mempunyai sebarang gejala akan diberikan Health Alert Card (HAC) dan mereka dinasihatkan untuk rawatan segera sekiranya mempunyai demam, batuk atau susah bernafas dalam masa 14 hari dari ketibaan dan membawa bersama HAC semasa berjumpa dengan pegawai perubatan untuk mendapatkan rawatan.

“Kerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk merujuk mana-mana pengembara dari China bagi pemeriksaan lanjut oleh anggota kesihatan di PMA.

“Kementerian saya juga memasang bunting untuk memaklumkan dan menggalakan mana-mana pengembara yang tiba dari China untuk tampil ke pusat pemeriksaan kesihatan di PMA.

“Beberapa PMA melakukan pengumuman berkala bagi menasihati pengembara untuk tampil ke pusat pemeriksaan PMA bagi pemeriksaan,” ujar beliau.

Selain itu, kata beliau, anggota Kementerian Kesihatan akan menjalankan pemeriksaan rawak dari semasa ke semasa ke atas warganegara Malaysia yang menggunakan autogate.

Kementerian itu juga, berharap warganegara Malaysia secara sukarela tampil untuk pemeriksaan kesihatan di PMA.

Beliau menjelaskan, Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang telah bekerjasama dengan Malaysia Airport Berhad dan pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia untuk mengalihkan semua kapal terbang dari China ke pintu yang telah dikenalpasti bagi mengelakkan percampuran antara penumpang dari China dan dari destinasi lain.

Saringan demam dengan menggunakan thermal scanner akan dilakukan di pintu berkenaan dan mereka yang disyaki PUI akan terus dirujuk ke hospital melalui laluan khas yang dikenalpasti bagi mengelakkan pendedahan kepada penumpang lain.

“Di pelabuhan pula, semua kapal dari China akan diberikan status kuarantin sehingga anggota kementerian menjalankan pemeriksaan ke atas kapal berkenaan.

“Manakala aktiviti pemunggahan barang dan penurunan anak kapal dan penumpang akan dibenarkan sekiranya pemeriksaan mendapati semua penumpang dan anak kapal sihat serta dokumen kebersihan kapal masih sah.

“Syarikat penerbangan telah diminta untuk mengenalpasti penumpang yang bergejala semasa dalam penerbangan dan sekiranya terdapat penumpang bergejala, anggota kesihatan di PMA akan dimaklumkan bagi menunggu ketibaan kapal terbang di pintu tertentu,” katanya.

Menurutnya lagi, apabila kapal terbang tiba di pintu yang telah dikenalpasti, pasukan kesihatan akan menaiki pesawat berkenaan untuk mengendalikan kes tersebut.

Dr. Dzulkefly meminta agensi pelancongan memaklumkan kepada anggota terlibat dan pelanggan yang ingin ke negara China mengenai situasi terkini kejadian wabak penyakit 2019-nCoV serta nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.

Nasihat itu ialah menggesa orang ramai mengelakkan dari melawati negara China sehingga dimaklumkan kelak, mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun  atau menggunakan hand sanitizer.

Katanya, sekiranya lawatan ke China tidak dapat dielakkan ketika di sana, mereka perlu menggelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan tidak bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala.

Selain itu, mereka hendaklah menggelakkan dari melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.

“Kita juga menasihatkan mereka supaya menggelakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

“Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit, iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang ke tanah air

“Pengembara yang datang dari China perlu dimaklumkan keperluan mengisytiharkan status kesihatan sebelum tiba ke Malaysia,” katanya.

Selain itu jelas beliau lagi, prosedur keperluan menjalani perintah Pemantauan dan Pengasingan serta isolasi sekiranya bergejala perlu dijelaskan kepada pelanggan.

Memperkasakan pihak agensi dan persatuan pelancongan untuk membuat saringan demam ke atas pengembara dan merujuk mereka ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Pihak agensi pelancongan dan pengurusan fasiliti penginapan  dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran termasuk menjalankan disinfeksi.

Katanya, kementerianya akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya, begitu juga pihaknya akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast