Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan pelan perdamaian yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Palestin dan keamanan di rantau Asia Barat.

Pelan damai Asia Barat yang diuar-uarkan mampu memberikan solusi keamanan kepada rantau itu serta memberikan Palestin sebuah negara yang merdeka sebenarnya adalah palsu belaka.

Menurut Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, ia merupakan kesinambungan manifestasi Barat terhadap Deklarasi Belfour yang diumumkan pada 2 November 1917.

Kata beliau, deklarasi itu pula adalah ikrar British yang berjanji akan mewujudkan satu negara kepada bangsa Yahudi di rantau Asia Barat ketika Perang Dunia Pertama.

Namun kali ini, kata Muhammad Khalil, bukan sahaja pelan perdamaian itu menyambung tali hayat ikrar British yang mahu mewujudkan sebuah negara untuk bangsa Yahudi tetapi turut juga memastikan cita-cita zionis Israel dan Kristian Evangelikan yang mahu mewujudkan sebuah negara Israel Raya tercapai.

“Pelan Damai Asia Barat yang digelar Deal Of Century yang diumumkan Trump semalam bersama Perdana Menteri rejim Israel, Benjamin Netanyahu adalah berat sebelah dan langsung tidak mengambil kira kepentingan rakyat Palestin.

“Bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ia juga turut merobek kedaulatan Jordan dan Syria dengan memasukkan Lembah Jordan dan Bukit Golan sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

“Syarat pelan damai tersebut yang dikenakan ke atas Palestin adalah tidak masuk akal dan membuktikan Amerika Syarikat dan Israel sebagai pengkhinat kepada keamanan Asia Barat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menjelaskan, antara syarat utama pelan damai tersebut ialah wilayah Palestin yang ditawan oleh rejim Israel sejak perang Arab-Israel 1948 tidak diserahkan kembali kepada Palestin manakala penempatan haram penduduk Israel turut kekal sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

Ujar beliau, Baitulmuqaddis pula kekal sebagai ibu negara Israel sebagaimana diumumkan Trump pada Disember 2017.

“Sebagai ganti rugi kepada tanah yang diambil dari wilayah Palestin, sebuah kawasan gurun di sempadan Palestin-Mesir akan diberikan kepada Palestin untuk didirikan penempatan dan kemungkinan dijadikan negara Palestin.

“Israel juga akan terus kekal menguasai soal keselamatan di seluruh wilayah Palestin dengan pihak berkuasa Palestin sama ada di Semanjung Gaza dan Tebing Barat tidak dibenarkan mewujudkan tentera untuk mengawal keselamatan.

“Hamas pula perlu dilucutkan hak sebagai pemerintah Tebing Barat dan dibubarkan,” katanya.

Namun, kata Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, bayang sebuah negara Palestin yang dijanjikan dalam pelan damai tersebut adalah palsu belaka dengan tidak menetapkan sebarang tarikh mahupun pelan untuk negara tersebut.

Yang ada hanyalah sebuah cadangan yang nyata belum pasti sebagaimana berlaku sebelum ini.

Ternyata pelan damai tersebut hanyalah sebuah pelan untuk menguatkan cengkaman rejim Israel ke atas wilayah Palestin dan menguatkan pengaruhnya di rantau Asia Barat.

“Itu adalah antara syarat utama pelan damai tersebut yang sudah tentu memihak kepada Regim Israel dan menindas Palestin dan penduduknya.

“Dunia Islam seharusnya bersatu menentang kezaliman rejim Israel dan Amerika Syarikat ke atas Palestin dan rakyatnya.

“Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) mahupun Liga Arab harus bertindak segera menentang pelan damai tersebut dan membantu Palestin serta rakyatnya, bukan lagi berpeluk tubuh melihat seperti sekarang,” katanya.

Malangnya, kata Muhammad Khalil, terdapat negara dalam kalangan dunia Islam di rantau Asia Barat hadir pada pengumuman pelan damai tersebut.

Kata beliau, moral dan kekuatan dunia Islam sudah tersungkur di kaki rejim Israel.

Malah, Majlis Keselamatan PBB dan PBB sendiri harus mengutuk dan mendesak AS mahu pun rejim Israel untuk tidak merealisasikan pelan damai tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast