Nurul Atiqah Adanan (dua dari kanan) ketika mewakili Malaysia dalam satu forum belia di Mesir.

KUALA LUMPUR – Nurul Atiqah Adanan mengambil keputusan meredah perjalanan ke Beijing esok untuk pulang ke Malaysia ekoran bimbang dengan keselamatannya yang masih berada di Jinan, China.

Jinan bandar raya wilayah Shandong yang merekodkan penularan wabak koronavirus.

Penuntut Universiti Shandong itu akan bergerak dari Jinan ke Beijing selepas waktu Asar.

Adiknya, Farah Amalina berkata, ibunya berpesan supaya kakaknya bergerak ketika bukan waktu puncak bagi mengelakkan Atiqah terdedah kepada orang ramai.

“Mak dan ayah risau sungguh mengenangkan kakak di sana, jadi mak minta kakak keluar semasa keadaan tenang. Mak juga pesan kakak pakai penutup mulut dan hidung, bawa sanitizer sentiasa.

“Saya minta rakyat Malaysia sama-sama mendoakan semoga perjalanan kakak saya dilindungi Allah, dijauhi daripada kesukaran dan selamat tiba di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang kerap berhubung dengan Atiqah sejak wabak koronavirus mengganas di China berkata, dari Beijing, Atiqah akan pulang ke Kuala Lumpur.

Amalina mengakui selagi Atiqah masih di sana, kehidupannya sekeluarga tidak tenang.

“Memanglah bukan kakak seorang sahaja rakyat Malaysia di sana, tapi siapa yang berada dalam situasi ini pasti dapat merasai kebimbangan kami.

“Sejak dari awal berita tentang penularan wabak koronavirus ini memang hati gundah memikirkan kakak, mak dan ayah apatah lagi,” menurutnya.

Disebabkan itu, katanya, sejak awal lagi keluarganya amat berharap kerajaan mengambil inisiatif membawa pulang warga negara Malaysia di China terutama para penuntut atas faktor-faktor keselamatan.

“Dulu kalau apa-apa berlaku di luar negara, kerajaan akan bertindak segera membawa pulang penuntut. Jadi kami ingat apabila berlaku wabak ini kerajaan pun akan ambil tindakan sama, rupanya tidak.

“Jadi apabila keadaan semakin membimbangkan di sana, maka kami terpaksa bertindak sebab tidak ada tanda-tanda kerajaan akan membawa penuntut Malaysia pulang,” katanya yang turut melahirkan kebimbangan jika ada penuntut Malaysia yang terpaksa ‘bertahan’ di kawasan-kawasan wabak kerana mampu untuk membiayai perjalanan balik.

Menurutnya, Atiqah dijadual tiba Sabtu ini dan terus pulang ke kampung di Langkawi.

“Setakat ini kami belum beli tiket kakak ke Langkawi, bimbang juga kalau dia kena kuarantin. Kalau semua selamat, baru beli tiket,” tambah beliau.

Amalina memberitahu, kakaknya juga berharap dapat menyertai forum belia bagi mewakili Malaysia pada bulan depan jika semuanya dalam keadaan baik.

Sebelum ini, Atiqah dijadualkan ke Bangkok untuk menyertai Young ASEAN Leaders Policy Initiative di Universiti Chulalongkorn, Bangkok pada 5 hingga 10 Februari ini.

“Kakak kata kalau dia datang dari Malaysia mungkin tidak ada masalah tetapi kalau dari China mungkin sukar kerana Thailand sudah pun menyekat kedatangan pelawat dari Tanah Besar itu,” ujarnya yang memaklumkan Atiqah kerap mewakili negara dalam forum-forum belia di luar negara. – MalaysiaGazette

Kerajaan tolonglah bawa balik anak saya – Adanan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.