Pemeriksaan kesihatan dijalankan secara ketat di China susulan penularan wabak koronavirus. foto Agensi

BEIJING – Jumlah kematian akibat wabak koronavirus di China meningkat kepada 131 ketika pihak berkuasa kesihatan di pusat epidemik melaporkan terdapat 840 lagi kes yang disahkan.

Kebimbangan penyebaran virus itu telah mendorong beberapa syarikat penerbangan untuk mengurangkan laluan ke China dan syarikat global juga telah menyekat perjalanan pekerja ke negara ini.

CNBC melaporkan White House telah meminta syarikat-syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) menggantung semua laluan ke China.

Pihak berkuasa kesihatan wilayah Hubei dalam satu kenyataan berkata, seramai 25 orang lagi telah meninggal dunia pada lewat hari Selasa.

Virus maut itu muncul di Wuhan akhir tahun lalu.

Pada masa ini beberapa wilayah telah menggantung sistem pengangkutan bagi mengekang pergerakan manusia dalam usaha mengurangkan penyebaran virus tersebut.

Dengan angka terbaru Hubei, jumlah kes yang disahkan di China adalah sekurang-kurangnya 5,355.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada hari Selasa berkata, sejumlah 4,515 kes dilaporkan padalewat hari Isnin dan dijangka memberi pengumuman nasional yang dikemaskini pada Rabu.

Bagaimanapun, tiada laporan kematian akibat koronavirus dilaporkan di luar China. – MalaysiaGazette