Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dari China gemar menjadikan Malaysia sebagai markas mereka kerana kesenangan dalam aspek logistik, selain kelajuan Internet yang  memuaskan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, sindiket dari negara tembok besar itu sering memilih banglo mewah sebagai markas kerana kekurangan komunikasi antara jiran, sekali gus mengurangkan risiko kegiatan terbongkar.

Katanya, pemilihan banglo mewah juga difikirkan sindiket dapat mengelakkan kegiatan mereka dihidu polis.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan asas termasuk kemudahan pengangkutan juga mendorong sindiket memilih Malaysia.

“Jarak antara China dengan Malaysia tidaklah terlalu jauh dan tiada halangan bahasa yang besar buat mereka.

“Saya percaya keadaan ini telah mendorong sindiket China beroperasi di Malaysia,” katanya kepada China Press.

Katanya, ramai pemilik yang menyewakan bangunan tidak sedar bahawa aset hartanah mereka telah disalah guna.

Selain itu, disebabkan mangsa penipuan bukan warganegara Malaysia, keadaan itu menyebabkan polis sukar menggunakan undang-undang Malaysia untuk mengambil tindakan.

“Walau bagaimanapun, orang ramai masih digalakkan untuk memberi maklumat kepada polis kerana kami pasti akan mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Lei Choo berkata, lebih 90 peratus pinjaman yang ditawarkan melalui Internet adalah penipuan.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur menerima kes penipuan pinjaman hampir setiap hari dengan kebanyakannya menawarkan untuk membantu mendapatkan pinjaman bagi pihak mangsa.

Penipu seterusnya akan mendakwa pinjaman telah diluluskan, tetapi mahu mangsa menjelaskan pelbagai kos pentadbiran.

“Mangsa hanya menyedari penipuan itu selepas gagal menerima pinjaman yang dijanjikan,” katanya. – MalaysiaGazette