PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia akan menyediakan laluan khas kepada pelancong China di pintu masuk negara sebagai langkah pengukuhan saringan daripada jangkitan koronavirus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sekiranya pelancong China didapati mempunyai gejala wabak itu, mereka akan dirujuk terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mesyuarat khas antara agensi kerajaan dan kementerian mempersetujui beberapa cadangan sebagai kawalan dan pencegahan wabak koronavirus.

“Ini termasuklah pengukuhan saringan kemasukan pengembara dari China termasuk menyediakan laluan khas.

“Merujuk pengembara (warganegara dan bukan warganegara) kepada KKM sekiranya mempunyai gejala,” katanya pada sidang media di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) hari ini.