Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak tetap akan mengadakan pendengaran awam pada prosiding melibatkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung isu Perbadanan Menteri Besar (MB. Inc). 
Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Perak menafikan fitnah mendakwa kerajaan negeri sebelum ini punca penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ada cubaan pihak tertentu yang melemparkan fitnah kononnya berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Tidak cukup membina persepsi jahat dengan mencipta istilah ‘Mini 1MDB’, pihak berkenaan melemparkan tuduhan serius mengaitkan diri saya dengan dakwaan skandal yang tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan ini adalah fitnah yang sangat serius, berniat jahat dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zambry juga mengalu-alukan sebarang laporan audit tentang kedudukan MAPS sejak tahun 2013 hinggalah tahun 2019 dan setiap akaun tertakluk kepada pengawasan Jawatankuasa Audit dan Firma Audit bertauliah.

“Seperti yang semua sedia maklum MAPS dimiliki oleh syarikat senaraian awam (public listed company) yang mana semua keputusannya berada dan dibuat di peringkat pengurusannya.

“Ia tertakluk kepada syarat penyenaraian serta patuh kepada semua tatacara serta piawaian termasuk tertakluk kepada kawal selia Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti dan garis panduan Corporate Governance yang ditetapkan dan saya bukanlah pengerusi atau ahli lembaga kepada syarikat ini.

“Saya tetap konsisten sejak dahulu lagi bahawa sekiranya berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka tindakan hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya lagi.

Malangnya, menurutnya, amat mendukacitakan apabila ia dijadikan perkakas politik untuk tujuan dan matlamat meruntuhkan maruah dan keaiban oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan mendapatkan nasihat dan pandangan perundangan dan akan mengambil tindakan susulan terhadap cubaan untuk berbohong, memfitnah dan merosakkan nama saya oleh individu dan pihak tertentu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast