MASJID Sultan, yang diwartakan sebagai monumen negara Singapura pada tahun 1975, menerima kunjungan 600 hingga 700 pelancong setiap hari.

Pada hujung minggu pula, jumlahnya melonjak kepada 1,000 pelancong sehari.

Ini bermakna, sekitar 5,000 pelancong keluar masuk Masjid Sultan dalam tempoh seminggu!

Namun sejak isu jangkitan wabak koronavirus, Lembaga Pengamanah dan Lembaga Pentadbir Masjid Sultan segera berbincang.

Apatah lagi selepas negara mereka mengesan kes pertama virus tersebut pada 23 Januari lalu

Akhirnya pada malam Tahun Baru Cina Jumaat lalu, keputusan sebulat suara untuk berhenti menerima kunjungan pelancong asing dibuat!

Menurut artikel yang dipetik dari BERITAmediacorp, langkah tersebut dikuatkuasakan sejak Sabtu lalu.

Sebaik sahaja dimuktamadkan, papan-papan tanda yang memaklumkan tentang penutupan sementara itu diletakkan di kesemua 10 pintu masuk di keliling masjid, yang terletak di daerah Kampung Gelam dan Arab Street yang popular di kalangan pelancong.

Pada notis tersebut tertera pemberitahuan yang berbunyi: “Ditutup kepada lawatan pelancong sehingga diberitahu kemudian. Jemaah Muslim dialu-alukan untuk masuk menunaikan solat. Kami meminta maaf atas kesulitan ini”.

Pengurus Masjid Sultan, Zainal Abidin Omar berkata pihak lembaga pentadbir masjid segera melaksanakan langkah-langkah pencegahan demi memastikan maslahat para jemaah dan kakitangannya selain untuk mengelak penyakit atau virus daripada merebak.

“Kita khuatir. Jemaah kita ramai. Satu kali kalau solat, saya rasa lebih 1,000 orang. Solat Jumaat jangan cakaplah. Macam (solat Jumaat) minggu lalu, penuh masjid,” ujar Zainal.

SEMENTARA itu, berbeza dengan keputusan yang diambil Singapura, Masjid Putra di Putrajaya yang ditutup kepada lawatan pelancong asing sejak Ahad lepas berikutan kebimbangan terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus telah pun dibuka semula.

Jurucakap pengurusan masjid itu berkata, para petugas masjid akan mengamalkan garis panduan yang telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah keselamatan terhadap jangkitan koronavirus.

“Sebelum ini, Masjid Putra ditutup kepada lawatan berikutan ada kebimbangan terhadap keselamatan petugas masjid memandangkan kita menerima ramai pengunjung asing setiap hari.

“Bermula hari ini, petugas akan ikut nasihat Kementerian Kesihatan seperti memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, beberapa masjid yang menjadi tumpuan pelancong seperti Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, serta Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dilaporkan ditutup kepada lawatan pelancong asing berikutan kebimbangan terhadap koronavirus.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan kesal dengan larangan itu dan menyatakan ia bukanlah dasar kerajaan.

Sejujurnya kita sendiri samar-samar mana keputusan yang ‘lebih baik’.

Adakah langkah pihak Masjid Sultan lebih tepat atau langkah Masjid Putra lebih bagus.

Yang pasti sudah tentu ada jawapan ‘pro dan kontra’ daripada masyarakat berhubung keputusan membuka dan menutup kedua-dua rumah ibadah ini.

Apapun kesejahteraan dan kesihatan rakyat adalah lebih utama daripada segala-galanya.

Wallahualam.