Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap dalam sidang media perkembangan terkini koronavirus di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Khas Misi Bantuan Kemanusiaan ditubuhkan berkuatkuasa hari ini untuk  membawa balik rakyat Malaysia yang berada di Wilayah Hubei, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Wisma Putra, Kementerian Pelajaran serta agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan  syarikat penerbangan Air Asia dan Malaysia Airlines (MAS).

“Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi meneliti  perkara berkenaan keperluan membawa balik rakyat Malaysia dan keluarga yang berada di Wilayah Hubei, China,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan 2019 novel Koronavirus (nCov 2019) di Kementerian Kesihatan hari ini.

Tambah Dzulkefly, sehingga kini Kementerian Luar sedang mengumpul jumlah sebenar rakyat Malaysia yang akan dibawa balik.

“Pihak Wisma Putra juga masih meneruskan perbincangan dengan pihak kerajaan China untuk urusan bantuan tersebut,” ujarnya.

Beliau selain itu mengesahkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah awal ini tentang dapatan terbaharu kes positif 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dikesan menjadikan keseluruhan lapan kes.-MalaysiaGazette