Notis penutupan Masjid Sultan, Singapura.

SINGAPURA – Masjid Sultan, yang menjadi salah satu tarikan pelancong di negara ini, mengambil langkah menutup buat sementara waktu pintunya kepada para pelancong menyusuli penularan virus Wuhan di Singapura.

Masjid tersebut memberitahu, langkah tersebut dikuatkuasakan sejak Sabtu lalu (25 Januari).

Sehari selepas kes pertama virus korona Wuhan disahkan di Singapura pada 23 Januari, Lembaga Pengamanah Masjid Sultan dan juga Lembaga Pentadbir Masjid Sultan segera berbincang.

Pada malam Tahun Baru Cina Jumaat lalu itu (24 Januari), keputusan sebulat suara untuk berhenti menerima kunjungan pelancong asing dibuat.

Sebaik sahaja dimuktamadkan, papan-papan tanda yang memaklumkan tentang penutupan sementara itu diletakkan di kesemua 10 pintu masuk di keliling masjid, yang terletak di daerah Kampung Gelam dan Arab Street yang popular di kalangan pelancong.

Pada notis tersebut tertera pemberitahuan yang berbunyi: “Ditutup kepada lawatan pelancong sehingga diberitahu kemudian. Jemaah Muslim dialu-alukan untuk masuk menunaikan solat. Kami meminta maaf atas kesulitan ini”.

Masjid Sultan. foto BERITAmediacorp

Pengurus Masjid Sultan, Zainal Abidin Omar berkata, pihak lembaga pentadbir masjid segera melaksanakan langkah-langkah pencegahan demi memastikan maslahat para jemaah dan kakitangannya selain untuk mengelak penyakit atau virus daripada merebak.

“Kita khuatir. Jemaah kita ramai. Satu kali kalau solat, saya rasa lebih 1,000 orang. Solat Jumaat jangan cakaplah. Macam (solat Jumaat) minggu lalu, penuh masjid,” ujar Zainal kepada BERITAmediacorp.

Masjid Sultan, yang diwartakan sebagai monumen negara pada tahun 1975, menerima kunjungan 600 hingga 700 pelancong setiap hari. Pada hujung minggu pula, jumlahnya melonjak kepada 1,000 pelancong sehari. Ini bermakna, sekitar 5,000 pelancong keluar masuk Masjid Sultan dalam tempoh seminggu!

Zainal berkata, masjid itu mempunyai lebih kurang 10 sukarelawan dan petugas-petugas yang berada di barisan hadapan untuk menerima kunjungan para pelancong setiap hari.

“Kita tutup sementara masjid untuk mencegah virus daripada terus merebak. Pencegahan lebih baik daripada mengubati. Kalau kita tengok di hospital pun, mereka juga tidak benarkan orang sahaja-sahaja datang masuk pekarangan hospital.

Semua ini kerana tidak mahu virus merebak,” jelas Zainal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.