Dr. Asmah bersama Dr. Ibrahim Ali pada sidang media kempen kesedaran kempen Jangan Minum, Mabuk dan Pandu Malaysia di pejabat Putra Malaysia, hari ini.

KUALA LUMPUR – Wirawati Putra Malaysia mencadangkan  hukuman penjara seumur hidup terhadap pemandu mabuk yang melanggar mati pengguna jalan raya lain dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada pertengahan tahun ini.

Ketua penajanya, Dr. Asmah Razalli berkata, hukuman lebih berat perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada pemandu agar tidak berada dalam pengaruh alkohol atau dadah ketika memandu.

Sehubungan itu, beliau menuntut Kementerian Pengangkutan menunaikan janjinya secepat mungkin untuk meminda hukuman akta tersebut.

Katanya, Wirawati akan mengadakan kempen kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah salah di sisi undang-undang.

“Kita menghargai maklum balas Menteri, Anthony Loke apabila semalam menyatakan persetujuan kementeriannya untuk membawa isu ini ke Kabinet dan Parlimen pada sidang Jun ini.

“Kementerian juga menyatakan janjinya untuk berbincang dengan polis dan Jabatan Peguam Negara supaya dapat mengkaji hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media kempen kesedaran Jangan Minum, Mabuk dan Pandu Malaysia di pejabat Putra Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Putra Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Menurut Dr. Asmah, Wirawati Putra memegang janji Anthony dan sentiasa menyokong apa sahaja langkah yang diambil untuk menjaga keselamatan dan nyawa pemandu.

Beliau berharap kementerian itu memulakan tindakan serta-merta supaya langkah pindaan itu diambil.

“Kita amat mengharapkan undang-undang lebih berat dikenakan  kerajaan agar tiada lagi mangsa tidak berdosa terkorban oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Setakat ini hukuman terhadap pemandu mabuk dikenakan bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

“Manakala pemandu mabuk yang menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain dikenakan hukuman di bawah Seksyen 43 iaitu penjara 12 bulan atau denda maksimum RM10,000,” katanya.

Katanya, hukuman bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kematian amat tidak setimpal dengan mangsa yang terkorban, sedangkan ahli keluarga kehilangan orang tersayang.

Sehubungan itu, Wirawati bertegas dan mencadangkan agar Seksyen 45 A (1) itu dipinda kepada hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya antara lima hingga 10 tahun, sebatan rotan dan denda minimum RM50,000.

Kata beliau, bagi Seksyen 43 pula hukuman perlulah dipinda kepada mandatori penjara minimum 20 tahun, rotan atau denda minimum RM50,000 ke atas atau penjara seumur hidup jika menyebabkan kematian.

“Cadangan pindaan hukuman ini boleh dipertimbangkan bersama Jabatan Peguam Negara dan mereka yang lebih arif mengenai hukuman sivil.

“Jika Anthony berkata Malaysia perlu meniru undang-undang Taiwan kerana mempunyai undang-undang sendiri, kita berharap undang-undang hukumannya biar setimpal dengan nyawa mereka yang diragut akibat memandu dalam keadaan mabuk.

“Amat malang, selama ini Malaysia tidak mengikut piawaian WHO dalam tahap alkohol yang dibenarkan dalam badan iaitu kurang atau bersamaan 80 mg dalam 100 ml darah, sedangkan WHO menggariskan kurang atau bersamaan 50 mg dalam 100 ml darah,” katanya.

Beliau berharap kerajaan Malaysia lebih tegas selepas pindaan hukuman itu dan meminimumkan tahap alkohol yang dibenarkan dalam badan ketika memandu selaras piawaian WHO.

Dr. Asmah juga meminta polis meneruskan ujian tahap alkohol dengan lebih giat ketika pemeriksaan seperti breath analyser, walk in straight line, air kencing dan darah untuk mencegah pemandu mabuk mahupun dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast