Raja Nurshirwan Zainal Abidin

KUALA LUMPUR – Seramai 82 rakyat Malaysia yang setakat ini dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya, bebas daripada jangkitan novel koronavirus, menurut Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin.

Beliau berkata, ini berdasarkan komunikasi pihaknya dengan rakyat Malaysia berkenaan menerusi panggilan telefon bagi meninjau perkembangan mereka.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti 82 rakyat Malaysia di Wuhan dan bandar-bandar sekitarnya yang dalam situasi ‘lockdown’.

“Secara umumnya mereka dalam keadaan tenang dan baik, serta banyak membantu memberikan butiran rakyat Malaysia yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, proses mendapatkan maklumat lanjut mengenai bilangan dan butiran rakyat Malaysia di Wuhan serta bandar-bandar sekitar masih diteruskan.

Buat masa ini, kesemua 82 orang rakyat Malaysia masih berada di tempat tinggal masing-masing, katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat memantau perkembangan semasa di Wuhan di samping menyediakan talian khusus bagi memudahkan rakyat Malaysia menghubungi pejabat konsulat di Shanghai, Guangzhou, Kunming, Nanning, Xi’an dan Hong Kong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast